Halal Ganja Dalam Perubatan: Malaysia Rancang Belajar Dari Thailand
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BANGKOK, 19 Ogos 2022 – Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan bahawa Malaysia merancang untuk belajar dari Thailand berhubung dasar penggunaan ganja dalam perubatan, lapor sebuah portal
“Kami sedang membangunkan rangka kerja kami sendiri untuk penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, dan ingin belajar dari Thailand,” kata pegawai berkenaan yang enggan dikenali kepada sebuah media.
Ia disuarakan selepas Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul menyatakan perancangan untuk bertemu dengan rakan sejawatnya di sini sewaktu Mesyuarat Menteri Kesihatan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada minggu hadapan.
Beliau sekali gus menggunakan peluang itu untuk memperlihatkan usahanya dalam menghalalkan ganja untuk kegunaan perubatan serta sebagai sumber komoditi ekonomi yang menguntungkan.
“Topik perbincangan adalah mengenai cara untuk bersama-sama memajukan dasar seperti ini untuk mendapatkan manfaat dari segi ekonomi dan perubatan.”
“Kami mahu semua orang mengiktiraf manfaat tumbuhan ganja ini. Semakin ramai orang berminat dalam bidang ini, lebih banyak pembangunan dan penyelidikan akan tercipta,” katanya dalam sebuah sidang akhbar di Bangkok.
Thailand mula membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan sejak 2018 sekali gus menjadikannya negara Asia pertama yang menghalalkan penanaman ganja serta penggunaannya dalam makanan dan minuman.
Bulan lalu, portal berita tempatan melaporkan bahawa pihak KKM menyasarkan untuk mendaftarkan beberapa produk cannabidiol bermula tahun depan selepas keselamatannya dikaji biarpun kelulusan untuk menanam tumbuhan berkenaan masih jauh.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada April lalu turut mengalu-alukan kajian klinikal bagi penggunaan cannabidiol itu dalam perubatan. Cannabidiol merupakan bahan kimia dalam ganja yang tidak mendatangkan kesan khayal kepada pengguna.
Di Malaysia, pemilik boleh dijatuhi hukuman mati mandatori sekiranya didapati memiliki lebih daripada 200 gram dadah berkenaan manakala penanaman dan penggunaannya pula adalah diharamkan.