Hakisan Pantai: Tabika Diarah Tutup Segera
KEMAMAN, 25 Mei 2023 – Taman Asuhan dan Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Geliga Baru, Chukai yang retak dan berisiko runtuh akibat hakisan pantai dan fenomena ombak besar serta air pasang awal Januari lalu diarahkan ditutup segera.
Pengarah Kemas Terengganu, Dr. Faridah Mat berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan premis itu tidak lagi selamat untuk diduduki.
BACA JUGA: Cuaca Panas Jejas Bekalan Ayam, Kematian Melonjak, Tumbesaran Terbantut
BACA JUGA: 5 Perkampungan Terdedah Risiko Hakisan Pantai
BACA JUGA: Rampasan Jam ‘Pelangi’ Swatch, MUDA Mahu Menteri Perjelas
“Dua hari lepas saya telah meninjau tabika tersebut dan saya arahkan supaya tabika itu tidak lagi digunakan dan kita tidak boleh berkompromi soal keselamatan dan nyawa murid,” katanya.
Menurutnya, pihaknya telah mencari premis lain untuk disewa bagi menempatkan murid tabika itu, namun tidak ada premis yang sesuai untuk dijadikan kelas serta tidak mematuhi aspek keselamatan yang ditetapkan.
Justeru, Kemas akan memohon kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Geliga untuk menempatkan 35 murid menggunakan balai raya kampung itu selepas cuti penggal pertama berakhir 3 Jun ini sementara sebelum premis baharu tabika itu dibina.
“Bagaimanapun, sekiranya tidak dapat menggunakan balai raya itu, murid tabika tersebut akan menumpang premis Tabika Kampung Geliga 1 dan 2, namun sesi pembelajaran akan dilaksanakan pada waktu petang iaitu bermula 12.30 tengahari hingga 4.30 petang,” jelasnya.
Sebelum ini, samudera.my melaporkan lima perkampungan di pesisir pantai negeri ini terancam akibat hakisan pantai yang semakin membimbangkan.
Antara perkampungan yang terlibat adalah Kampung Tengah, Kampung Kolam, Kampung Pengkalan Maras, Kampung Mengabang Telong dan Kampung Tanjung.