Hakisan Pantai Pulau Pangkor, 3 Meter Setahun
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LUMUT, 06 Januari 2023 – Kajian daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) mendapati kawasan pesisir pantai Coral dan pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor semakin mengecil akibat terhakis kira-kira dua hingga tiga meter setahun.
Ketua Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Yang Lestari Teluk Nipah UTP, Dr Teh Hee Min berkata, hakisan tersebut akibat daripada ombak yang besar sekali gus menyebabkan infrastruktur terutama gerai tepi pantai di situ runtuh.
BACA JUGA: Selain Rumah, Penduduk Mengadu Hilang Tanah Ketika Musim Tengkujuh
BACA JUGA: NADMA Nafi Edarkan Borang Pendaftaran Bantuan Banjir
BACA JUGA: Terkesan Tragedi Baling, Warga Cameron Makin Risau Ancaman Tanah Runtuh
“Sewaktu pembinaan gerai-gerai suatu ketika dahulu, mungkin pembinaannya mematuhi jarak yang ditetapkan tetapi akibat perubahan iklim, garis pantai semakin dekat ke daratan.”
“Keadaan itu juga menyebabkan semakin lama ia semakin hampir dengan pembangunan terdekat.”
Jelasnya lagi, hakisan pesisir pantai Teluk Nipah berlaku sejak 1990, cuma kesannya tidak ketara pada masa itu tetapi kini garis pesisir pantai sudah sampai ke bangunan gerai perniagaan.
Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Manjung, Ir Mohd. Shamimi Mohd. Tahir memaklumkan, terdapat empat kawasan di bawah kategori satu yang mana garis pesisir berada dalam keadaan hakisan dan tempat kemudahan atau infrastruktur berasaskan pesisir berada dalam bahaya berlaku keruntuhan atau kerosakan langsung.
Kawasan tersebut termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam, Teluk Gedung dan Tanjung Kelawai yang menempatkan kira-kira 300 rumah nelayan.
“Antara langkah proaktif dalam menjaga persisiran pantai daripada terhakis adalah dengan membina 50 meter ‘rock revetment’.”
“Sebuah pembangunan yang dijadikan bazar kepada para penjaja juga sedang giat dijalankan bagi menempatkan mereka yang berniaga di sekitar bahu jalan ke tempat yang lebih selamat,” katanya.