Tempatan

Hak-Hak Mangsa Jenayah (Mendapat Maklum Balas Perkembangan Kes) – Arik Zakri

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Mangsa dalam kes-kes jenayah mengadu kepada saya bahawa mereka berasa kecewa dan tidak berdaya apabila pihak penyiasatan polis tidak memberikan maklum balas berkenaan perkembangan kes yang disiasat. Mangsa-mangsa tersebut juga mengadu bahawa Pegawai Penyiasat (yang dikenali sebagai  “IO”  bermaksud Investigating Officer) tidak melakukan apa-apa dalam penyiasatan kes mereka. Oleh yang demikian, saya membuat penulisan ini supaya anda memahami hak-hak anda sebagai mangsa jenayah.

Terma Pengadu merujuk kepada seseorang yang membuat laporan polis yang mengandungi maklumat berkenaan suatu kejadian jenayah.

Saya berpandangan, kita tidak sewajarnya terlalu cepat membuat sebarang andaian atau berprasangka terhadap apa yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh pihak polis dalam kes anda. Walaupun andaian kita itu adalah betul.

Undang-undang memberikan anda hak untuk menuntut kes anda dan untuk memperoleh maklumbalas daripada pihak polis, dengan mengambil langkah-langkah tindakan yang mudah dan berjaya memberikan saya hasil yang baik pada kadar 100%.

Anda memerlukan:

1. Satu (1) surat salinan “hardcopy”. 

2. Satu (1) salinan fotostat surat di atas (sebagai salinan pengakuan penerimaan)

3.  Tiga atau lebih panggilan telefon dalam tempoh 2 bulan.

4. Sekurang-kurangnya satu lawatan ke Balai Polis (sila lihat ulasan saya di bawah berkenaan urusan tersebut dalam wabak pandemik)

5.   Satu atau dua e-mel.

6.   Sabar, berkeyakinan dan redha dengan perjalanan dan keputusan kes.

Anda hendaklah berhubung dengan pihak polis dan pihak Pendakwaan untuk mengikuti perkembangan kes dan memastikan kes tersebut diberikan perhatian yang sewajarnya. Sekiranya anda tidak mempunyai keyakinan diri atau keberanian untuk bertindak sedemikian, atau anda sedang mengalami kesukaran seperti trauma, atau anda tidak berkemampuan, anda boleh mendapatkan bantuan dan sokongan. Jika anda tidak mengikuti perkembangan kes, maka kelancaran siasatan kes boleh mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan. Sekiranya anda menyerahkan perjalanan kes sepenuhnya kepada pihak polis, tidak mustahil ia menjadi “kes sejuk”, tidak dilengkapkan, dan kertas siasatannya terselit di bawah timbunan kertas-kertas siasatan kes-kes yang lain yang juga masih dalam tindakan polis.

Sebagai Pengadu, anda memiliki hak yang terutama untuk menuntut perjalanan kes anda. Anda perlu mengikuti perkembangan kes, sesungguhnya kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Lebih-lebih lagi IO terlalu sibuk dengan tugasan harian dan pelbagai urusan kerjaya yang dipertanggungjawabkan oleh pegawai-pegawai atasannya.

Seluruh proses penyiasatan kes jenayah melibatkan pelbagai pihak dan undang-undang yang berkuatkuasa. Pengaduan anda adalah asbab dan pemula kes. Pada peringkat terawal kes, peranan anda adalah seperti kunci kereta yang menghidupkan enjin penyiasatan. Selepas itu, kes diambil alih sepenuhnya oleh jentera agensi penguatkuasaan. Anda menjadi sekadar salah satu daripada banyak komponen dalam jentera sistem keadilan.

Pada masa yang sama, anda bukanlah tuanpunya yang memiliki kes tersebut. Anda tidak berhak untuk memaksa kes dipercepatkan atau untuk ditarik balik. Ini kerana wujudnya prosidur-prosidur dan undang-undang yang mengehadkan apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan. Anda sebagai Pengadu tidak berada di tempat duduk pemandu. Tetapi, anda berhak menerima maklumbalas daripada IO berkenaan perkembangan kes dari masa ke semasa. Walaupun anda tidak mempunyai kuasa sepenuhnya atas kes, adalah amat penting bahawa pihak penyiasat maklum bahawa anda berminat untuk meneruskan kes.

Sebagai panduan kepada anda untuk menggerakkan jentera keadilan ini, sila rujuk Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah (juga dikenali sebagai Kanun Prosidur Jenayah atau Criminal Procedure Code“CPC”). Peruntukan tersebut hanya terpakai untuk kes-kes yang telah dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap.

Janganlah berputus asa walaupun polis telah mengkelasifikasikan kes anda sebagai kes tak boleh tangkap. Anda dinasihatkan untuk terus menuntut hak anda dan merujuk kepada peruntukan tersebut. Ini kerana secara keseluruhan, pihak polis, Pendakwaan dan Mahkamah diwujudkan untuk mempertahankan hak-hak anda dan melindungi anda daripada ancaman jenayah.

Sila rujuk peruntukan berikut:

Sila memahami hak-hak anda di bawah peruntukan ini. IO diwajibkan untuk mematuhinya kerana mereka diamanahkan untuk mempertahankan hak anda di bawah undang-undang.

Sila ambil perhatian peringkat-peringkat berikut:

1. Empat (4) minggu dari tarikh anda membuat laporan polis, anda dinasihatkan untuk menulis sepucuk surat kepada pihak polis. Dalam surat ini, anda memohon untuk mendapatkan makluman perkembangan penyiasatan kes yang telah anda laporkan. Gunakanlah tajuk “Permohonan untuk mendapat Laporan Status Penyiasatan (Seksyen 107A Kanun Prosidur Jenayah)”. Tiada format atau perkataan khusus diperuntukkan untuk permohonan tersebut. Sila nyatakan nombor laporan polis dan nama IO. Lampirkan salinan laporan polis anda. Untuk permohonan ini, adalah penting untuk anda menyatakan tarikh-tarikh seperti tarikh kejadian, tarikh membuat laporan polis, dan tarikh percakapan anda direkodkan oleh IO. Ini adalah bagi memudahkan pihak polis  selain IO untuk menjejaki perkembangan kes anda. Maksud saya selain IO kerana IO mempunyai Diari Siasatan (atau IDInvestigation Diary) yang membutirkan tindakannya dalam penyiasatan dari hari ke hari.

a.  Hantar surat anda kepada Ketua Polis Balai (dikenali sebagai OCS atau Officer in Charge of Police Station) di Balai Polis yang mana laporan polis anda didaftarkan. Anda perlu teliti nombor repot — formatnya seperti “Jalan Travers Rpt 000923/2021” atau “Sek 9 Rpt 000081/2021”. Maksudnya laporan ke-923 didaftarkan dalam tahun 2021 di Balai Polis Jalan Travers, atau laporan ke-81 yang didaftarkan dalam tahun 2021 di Balai Polis Seksyen 9. Butiran ini penting kerana kadang-kadang sistem dalam rangkaian laporan polis mendaftarkan laporan polis anda di bawah Balai Polis yang berlainan daripada Balai Polis yang mana anda telah hadir dan membuat laporan sebelum itu. Penentuan Balai Polis yang didaftarkan adalah dilakukan dalam sistem rangkaian polis berdasarkan tempat kejadian. Ini adalah kerana setiap Balai Polis telah diwartakan mengikut bidang kuasa dalam lingkungan kawasan di bawah pentadbirannya.

b. Untuk penyerahan surat permohonan yang pertama ini, sila hantar salinan “hardcopy” yang ditandatangani. Kajang-kadang surat anda diterima di kaunter inkuiri. Kadang-kadang anda dijemput masuk berjumpa dengan Sarjan yang bertugas. Dapatkan cop pengakuan penerimaan pada suatu salinan fotostat surat yang sama. Secara logik, sepatutnya adalah memadai untuk anda permohonan melalui aplikasi Whatsapp atau melalui e-mel dan bukan melalui surat “hardcopy”, memandangkan pada tarikh penulisan ini, negara masih dilanda wabak pandemik Covid-19. Walaubagaimanapun, saya masih berpandangan adalah lebih baik untuk anda menghantar surat “hardcopy” supaya anda mendapatkan cop pengakuan penerimaan yang merupakan bukti yang penting dan meyakinkan. Tak perlulah memberikan mereka alasan untuk menyatakan “kami tidak menerima permohonan tuan/puan kerana kami tidak membuka e-mel / whatsapp”, “pegawai telah bertukar” dan lain-lain alasan. Minta maaflah urusan ini mungkin leceh. Dalam hal ini anda perlu berusaha sikit untuk mendapatkan hasil yang lebih baik kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Simpanlah salinan yang diakui penerimaan tersebut dan sila imbas ke dalam format PDF atau jpg.

c. Kemudian anda bolehlah majukan salinan yang diakui penerimaan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (dikenali sebagai “J” atau “OC” di sesetengah tempat). Beliau merupakan pegawai kanan yang menyelia para pegawai penyiasat jenayah yang bertugas di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Daerah (“IPD”). IO kes anda menjawab kepada pegawai kanan tersebut.

d. Anda boleh menulis surat permohonan terus kepada IO. Bagaimanapun saya menasihatkan anda untuk menghantar surat kepada Ketua Polis Balai mengikut prosidur yang ditetapkan oleh undang-undang. Lebih-lebih lagi anda menuntut hak yang diberikan oleh undang-undang tersebut. Sepatutnya IO boleh menjawab terus. Berdasarkan pengalaman saya, adalah lebih baik kita mengikut prosidur yang ditetapkan dalam undang-undang bertulis. Jangan memberikan mereka (IO berkenaan) alasan untuk melambat-lambatkan jawapan, atau tidak menjawab, atau tercicir surat anda, atau memberikan pernyataan seperti, “Entah apa jadi kepada surat tuan.”

2. Ketua Polis Balai dikehendaki menjawab secara bertulis dalam masa 2 minggu berkenaan status penyiasatan kes anda.

(a) Lazimnya, surat permohonan anda dijawab oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah dari IPD dan bukan Ketua Polis Balai.

(b) Jawapan yang mungkin diterima oleh anda adalah seperti berikut:

i. “kes masih dalam tindakan” atau “kes masih dalam siasatan

iii. “tiada siasatan lanjut” atau “NFA” (“No Further Action”)

iv. “telah dirujuk kepada Majistret” atau “RTM” (“Referred to Magistrate”)

vi. “telah dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang lain

vii. “penyiasatan telah selesai dan kertas siasatan telah dimajukan kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan

v.  “saspek telah ditangkap dan dituduh di Mahkamah

(c) Jawapan daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah tidak mempunyai format yang ditetapkan. Saya pernah melihat surat jawapan dalam pelbagai format, misalnya surat jawapan berbentuk senarai seperti “checklist” di mana IO hanya menandakan “tick” pada jawapan yang dikhaskan, dan juga pernah menerima surat jawapan berbentuk karangan. Kebiasannya, jawapan daripada polis adalah ringkas tanpa butir-butir. Hanya Alasan Penghakiman Mahkamah akan mengandungi penceritaan penuh dan pembutiran terperinci kes anda — di luar skop penulisan ini.

3. Hubungi IO untuk mendapatkan maksud dan intipati perkembangan siasatan yang dimaksudkan dalam surat jawapan tersebut. Hubungan anda dengan IO adalah amat penting. Bagaimanapun, anda hanya dapat mempertanggungjawabkan beliau (“hold them responsible”) berdasarkan jawapan yang bertulis. Kepada pengadu-pengadu yang tidak mahu berhubung secara e-mel atau surat “hardcopy”, tetapi telah selesa dengan bermesej Whatsapp, panggilan telefon dan percakapan lisan semata-mata;  boleh saya bertanya, “Mengapakah anda tidak mahu berhubung secara bertulis? Mengapakah anda perlu memberikan mereka sebab untuk menyatakan ‘Maaf tuan, saya tidak pernah menjanjikan apa-apa kepada tuan?’”.

4. Sekiranya kes anda telah dibawa ke Mahkamah (pertuduhan telah difailkan), kemungkinan IO bukan lagi sumber maklumat yang terbaik untuk memberikan maklumat tepat berkaitan dengan perjalanan kes anda. Mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya merupakan sumber maklumat yang lebih terkini dan tepat. Dari aspek Mahkamah, anda juga boleh duduk dalam dewan bicara dan menyaksikan perbicaraan — tertakluk kepada keizinan DPP / Mahkamah kerana anda juga merupakan saksi Pendakwaan. Anda juga boleh menghantar wakil untuk menyaksikan perjalanan kes di Mahkamah. Selain itu, terdapat laman EFS Kehakiman https://efs.kehakiman.gov.my/EFSWeb/ yang mana orang awam boleh akses dan melihat status kes pada ruang “Senarai Kausa”.

Buat masa ini kadang-kadang ada mahkamah yang selalu mengemaskini maklumat yang dimuatnaik ke laman EFS Kehakiman, manakalah ada juga mahkamah yang tidak/jarang mengemaskini maklumat tersebut. Saya harap dapat menerangkan perkara ini dalam suatu penulisan yang lain.

5. Sekiranya pihak polis memaklumkan bahawa penyiasatan masih dalam tindakan, anda boleh menghantar pertanyaan susulan lebih kurang setiap bulan.

(a) Janganlah terlalu menekan pihak polis atau terlalu kerap bertanya perkembangan kes, melainkan anda bimbang nyawa anda terancam atau diugut oleh orang yang disyaki.

(b) Sekiranya hubungan anda dengan IO adalah baik, anda tidak perlu terlalu kerap memohon perkembangan kes – kerana IO akan memaklumkan anda tanpa ditanya.

(c) Apabila anda menulis surat kepada polis, sila alamatkan surat kepada pegawai atasan IO, untuk perhatian IO berkenaan (contohnya tulis “U/P ASP Norhayati bt Ahmad”).

6. Sekiranya anda tidak menerima sebarang jawapan kepada surat permohonan dalam tempoh 2 minggu yang diperuntukkan, atau sekiranya anda hanya menerima surat-surat “dalam tindakan” selama berbulan-bulan (“holding letters”), anda boleh mengadukan perkara tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya (“DPP” atau “Deputy Public Prosecutor”).  Dalam surat aduan tersebut, anda hendaklah memaklumkan DPP bahawa pihak polis tidak memberikan maklumbalas kepada permintaan untuk laporan status kes. Rata-ratanya para DPP bertindak dengan sikap profesional dan akan mengambil tindakan terhadap pengaduan anda tersebut. Bagaimanapun, pada peringkat ini, pihak DPP tidak berhubung secara langsung dengan Pengadu.

7. Alamatkan pengaduan anda kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (dikenali sebagai “PPN”) yang bertugas di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri di mana kes disiasat. PPN merupakan seorang DPP paling kanan di peringkat negeri. Anda juga boleh menghantar surat pengaduan anda kepada YBhg Peguam Negara atau Ketua Bahagian Pendakwaan di Ibupejabat Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Bagaimanapun ini boleh memanjangkan tempoh keberhasilan permohonan anda kerana Ibupejabat lazimnya memberikan arahan melalui PPN. Saya berpandangan bahawa anda sewajarnya boleh mengangkat pengaduan anda ke perhatian Ibupejabat Jabatan Peguam Negara sekiranaya pengaduan anda kepada PPN tidak mendapat sebarang respons daripada mana-mana pihak.

8. Setelah menerima pengaduan anda, PPN akan mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk segera memberikan laporan perkembangan kes kepada anda.

Kaedah ini tidak pernah mengecewakan saya. Selalu dapat kalau pakai cara ini, insya Allah.

9. Secara praktikal dan tersirat, permohonan anda untuk suatu laporan perkembangan kes memberikan isyarat jelas kepada pihak IO untuk menyegerakan atau mempercepatkan kes. Seperti dinyatakan di awal penulisan ini, sebenarnya anda tidak mempunyai kawalan atau kuasa atas perjalanan kes secara langsung. Apabila pihak polis menerima surat daripada anda, atau arahan daripada PPN, percayalah mereka akan bertindak dan mereka akan menjawab. Jika anda menerima panggilan telefon daripada IO atau pegawai kanan beliau sila menyatakan kepada IO dengan penuh hormat bahawa anda memerlukan status kes secara bertulis untuk rujukan tuan dan supaya lebih mudah difahami oleh keluarga anda. Kebanyakan (hampir semua) IO di negara ini dilatih dengan baik, berpengalaman luas, dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap tugas mereka. Oleh itu kebanyakan akan memberikan respons yang sepatutnya. Bagaimanapun segelintir kecil sahaja akan memperlekehkan and jika anda tidak bertegas. Mungkin juga IO telah bertukar, atau IO mempunyai beban tugas yang berat di pejabatnya, beliau mungkin telah terlepas pandang. IO adalah manusia seperti kita dan bukan robot. Pada masa yang sama, anda sewajarnya menggunakan hak yang dijamin di bawah undang-undang.

10. Keputusan untuk menuduh saspek atau tidak menuduh saspek adalah dalam tangan DPP dan bukan pihak IO. Insya Allah saya akan menulis pada masa hadapan apa yang anda boleh lakukan sekiranya mendapat keputusan NFA (tiada tindakan lanjut) atau RTM (rujuk kepada Majistret).

11. Sekiranya kes anda dibawa ke Mahkamah, anda berhak untuk dimaklumkan keputusan kes oleh DPP di akhir kes. Ini bukan suatu hak di bawah undang-undang bertulis. Ia adalah tertakluk kepada amalan dan arahan dalaman Jabatan Peguam Negara.

Saya berharap penjelasan di atas memberikan manfaat kepada anda supaya anda lebih memahami hak anda di bawah undang-undang.

Here’s a Tip:

Katakanlah anda mempunyai maklumat / bukti baru dan memaklumkan IO, tetapi IO tidak mengendahkan makluman anda. Anda boleh menyatakan perkara tersebut di dalam pengaduan anda kepada DPP yang dirujuk dalam perenggan 6 di atas. Barangkali DPP akan menyedari perkara tersebut dan mengarahkan IO untuk merakam percakapan lanjut anda. IO tidak boleh mengelak daripada mematuhi arahan DPP.

Perbincangan Lanjut

Adakah orang lain boleh mengikuti perkembangan penyiasatan kes selain daripada Pengadu? 

Secara umum, hanya Pengadu berhak untuk mendapat maklumat perkembangan kes. Sekiranya Pengadu telah membuat laporan polis bagi pihak sebuah syarikat, mana-mana pegawai syarikat yang dipertanggungjawabkan boleh mengikuti perkembangan kes sekiranya Pengadu telah berhenti / meninggalkan syarikat. Dalam keadaan sedemikian, pegawai yang dipertanggungjawabkan hendaklah memaklumkan IO dan mengemaskankini sebarang maklumat dalaman yang berkaitan. Sebenarnya, dalam konteks suatu pengaduan di bawah Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah, undang-undang tidak membezakan antara Pengadu biasa atau Pengadu yang merupakan kakitangan yang memberi maklumat bagi pihak syarikat.

Orang Yang Disyaki dan saksi-saksi dalam kes (yang bukan Pengadu) tidak mempunyai hak untuk mendapatkan makluman status kes. Dari masa ke semasa, Orang Yang Disyaki (OYDS) boleh mendapat maklumat daripada IO tetapi lazimnya maklumat kes adalah agak terhad. Daripada pemerhatian saya, keterbukaan IO adalah lebih memihak kepada Pengadu dan bukan kapad OYDS. Sekiranya dituduh, OYDS (Tertuduh) akan mendapat maklumat kes secara terus daripada Mahkamah pada setiap sesi sebutan. OYDS tidak berhak mendapat maklumat berkenaan keberadaan atau status Pengadu.

Kali pertama Orang Yang Disyaki berhak untuk mendapat salinan laporan polis anda ialah apabila pihak DPP menyerahkannya kepada beliau sebagai sebahagian daripada dokumen-dokumen yang akan digunakan sebagai bukti dalam perbicaraan, lazimnya pada sebutan pertama atau kedua selepas tarikh pertuduhan. DPP hanya diperuntukkan untuk menyerahkan Laporan Maklumat Pertama. Laporan Maklumat Pertama ialah laporan polis terawal yang menggerakkan kes.

Penting: Laporan Polis yang diserahkan oleh DPP kepada Tertuduh mengandungi nombor telefon, alamat dan nombor kad pengenalan anda. Sila dapatkan nasihat daripada Peguam, DPP atau Mahkamah berkenaan cara melindungi privasi anda dalam keadaan sedemikian.

Wartawan dan ahli media mempunyai akses terhad untuk mendapatkan maklumat berkenaan suatu kes yang masih dalam siasatan. Oleh kerana pihak polis mempunyai sebuah jabatan yang mengendalikan perhubungan awam, saya mengandaikan bahawa mereka melaksanakan tatacara SOP untuk sebarang perhubungan dengan media. Oleh yang demikian, sekiranya anda bimbang bahawa liputan media mengancam keselamatan atau privasi anda, sila memaklumkan IO untuk tindakannya. Atau, dalam keadaan yang sesuai anda boleh terus menyatakan bantahan anda kepada penerbit syarikat media yang berkaitan.

Coming Soon (masih dalam kajian)…

a. Hak mangsa jenayah untuk memberikan pernyataan impak mangsa (“victim impact statement”) untuk pertimbangan Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman ke atas Tertuduh.

b. Hak mangsa jenayah sekiranya Mahkamah membebaskan Tertuduh, mengenakan hukuman terlalu ringan, DPP tidak memfailkan Notis Rayuan / Petisyen Rayman atau DPP menarik balik Notis Rayuan.

c. Hak mangsa jenayah untuk mendapat bayaran gantirugi daripada Tertuduh mengikut prosidur jenayah.

d. Hak mangsa jenayah keganasan rumahtangga sementara menunggu penyiasatan dan perbicaraan.

e. Kelemahan-kelemahan dalam undang-undang keganasan rumahtangga dari aspek perlindungan terhadap mangsa dan saksi kanak-kanak. (Penekanan kepada tadbir urus EPO, IPO dan PO serta perlindungan pasca penghakiman)

f. Membuka semula kes yang telah sejuk / ditutup / diabaikan.

g. Diskriminasi terhadap orang yang mempunyai kondisi mental dalam sistem perundangan jenayah keganasan rumahtangga.

h. Hak mangsa jenayah sekiranya mendapat keputusan NFA atau RTM. (Seksyen 128(1) dan 133 Kanun Tatacara Jenayah)

Arik Zakri merupakan seorang peguam.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button