Hak Beragama Pramugari: Kenyataan Syed Saddiq Tidak Matang – Kaslawati Kassim
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SELANGOR, 11 Disember 2021 – “Tidak matangnya MP Muar, YB Syed Saddiq, graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam menepis isu terkait hak dan pakaian wanita Islam.”
Demikian respons Puan Kaslawati Kassim merujuk kepada ciapan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq yang menempelak pertanyaan daripada MP Kuala Krai mengenai hak pramugari untuk bertudung semasa bekerja.
Beliau yang bersetuju dengan kenyataan Profesor Madya Dr Rafidah Hanim dalam isu ini seperti yang dapat dilihat dalam Facebooknya menegaskan bahawa, laporan The Star yang pro liberal ini berkenaan soalan MP Kuala Krai adalah berniat jahat.
“Ucapan MP Kuala Krai yang dikritik MP Muar tersebut menyebut tentang HAK PRAMUGARI yang ingin bertudung ketika bekerja dan bertanyakan OPTIONS atau pilihan yang ada buat mereka,” jelas beliau.
Menurut ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA (JKP BERJASA) yang juga Setiausaha Wanita BERJASA Pusat itu, Syed Saddiq sepatutnya bersatu dan menyokong Ahli Parlimen Islam dalam perkara mempertahankan syariat Islam, bukan yang sebaliknya.
“Sepatutnya dalam perkara mempertahankan syariat Islam, menguatkan amalan Islam semua ahli Parlimen Islam bersatu dan menyokong. Ini tidak berlaku, malah mencari kesilapan Ahli Parlimen lain.”
Justeru, beliau berharap pengasas bersama parti MUDA itu dapat membuka matanya melihat perkara yang sebenar.