Antarabangsa

Guru Wanita Paksa Pelajar Muslimah Namakan Bahagian Alat Sulit Lelaki

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.Guru

SWEDEN, 15 Mac 2022 – Seorang guru wanita di sebuah sekolah untuk golongan pelarian di Sweden menyerang para pelajarnya secara lisan dengan memaksa mereka menyebutkan nama bahagian alat sulit lelaki di dalam bahasa Swedish.

“Awak tahu tak apa itu z***r? Awak tahu apa yang orang lelaki ada? Apa yang orang lelaki ada? Sebutkannya! Apa namanya? Cepat, cepat, cepat,” jerit guru tersebut kepada seorang pelajarnya, seperti yang dipaparkan di dalam sebuah video.

“Come on. Dah berapa lama kamu tinggal di Sweden? Apa namanya?” tempelaknya lagi.

Kejadian ini berlaku di Svenska för Invandrare (Swedish for Immigrants, SFI), Malmö, kolej pendidikan untuk pelarian dewasa. Guru tersebut dilaporkan mengajar subjek bahasa di dalam kelas yang majoritinya dihadiri oleh pelajar-pelajar Muslimah.

Di dalam video yang dikongsikan oleh TRT World itu, guru wanita tersebut juga dilihat menghentak-hentakkan tangannya ke meja selepas melihat pelajar wanita berkenaan tidak menjawab soalannya.

Dalam video yang sama, seorang pelajar wanita lain meminta keizinan untuk keluar dari kelas kerana takut dengan tindakan guru tersebut, namun permintaannya ditolak.

“Maafkan saya tetapi saya tidak boleh duduk lagi di dalam kelas ini,” kata pelajar wanita itu.

“Tidak. Kamu tidak boleh pergi ke mana-mana. Duduk! Jika kamu muntah sekalipun, kamu tidak boleh pergi ke mana-mana, bersihkan sendiri muntah kamu,” balas guru wanita berkenaan walaupun pelajar tersebut menyuarakan ketakutannya berulang kali.

Menurut portal The Local, para pelajar melaporkan bahawa guru wanita itu mengamuk tanpa sebab secara tiba-tiba.

“Saya tidak tahu apa yang mencetuskan ini. Pelajar mengatakan ia berlaku secara tiba-tiba,” kata Andreas Eriksson, Pengetua SFI.

Dilaporkan bahawa pihak kolej sedang bercakap dengan pelajar dan akan menawarkan bantuan jurubahasa apabila kelas berkumpul pada hari Jumaat depan untuk bercakap tentang kejadian ini.

Berikutan kejadian ini, umat Islam di Sweden sepakat menghantar e-mel beramai-ramai kepada pihak kolej meminta guru tersebut diberhentikan dan meminta pihak sekolah membuat permohonan maaf secara rasmi.

Setakat ini, tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak kolej selain memberikan guru wanita tersebut cuti sakit dan menggantikan kelas dengan guru ganti baharu.

Leave a Reply

Back to top button