Guru Muat Naik Video Berunsur Negatif Akan Dikenakan Tindakan – KPM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PERAK, 14 Ogos 2022 – Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana guru yang didapati memuat naik video yang mempunyai kandungan berunsur negatif ke laman media sosial.
Tambah beliau, KPM memutuskan perkara tersebut dan juga akan memperhalusi dengaan lebih lanjut demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.
“Perbincangan lanjut di peringkat kementerian itu juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang pada masa hadapan.”
Dalam pada itu, Datuk Mah Hang Soon turut menasihatkan agar warga pendidik menggunakan media sosial dengan cara berhemah dan seeloknya menjurus kepada kandungan-kandungan berbentuk pendidikan.
“Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita,” kata beliau lagi.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengeluarkan kenyataan bahawa penggunaan media sosial secara langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah satu perbuatan yang salah.
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata penggunaan media sosial khususnya secara langsung semasa waktu bertugas rasmi adalah sesuatu yang salah, apatah lagi jika ia lebih bersifat mempopularkan diri sendiri.
“Hal ini amat tidak sihat dan menyalahi peraturan serta patut dihentikan. Demi menjaga imej profesion keguruan, pihak pentadbir sekolah dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) perlu bertindak tegas.”