Gunakan MyKad, Sekat Ketirisan Subsidi
KUALA LUMPUR, 09 Jun 2023 – Masalah ketirisan subsidi negara hingga dinikmati warga asing perlu ditangani segera dengan mewujudkan satu mekanisme yang dapat mengawal selia barangan bersubsidi supaya ia hanya dinikmati oleh kumpulan sasar dan warganegara sahaja.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, k5erajaan boleh melakukan kawalan atau sekatan mengikut atau mengambil nombor kad pengenalan (MyKad) sebagai sekatan untuk memastikan pembeli barangan bersubsidi itu adalah warganegara Malaysia.
BACA JUGA: WASPADA! Obor-Obor ‘Biru’ Membawa Maut
BACA JUGA: Kumpulan Lapor Polis, Dakwa Kanak-Kanak Hindu Didakyah Kumpulan Kristian
“Saya rasa satu mekanisme wajib diwujudkan untuk mengawal selia bekalan barangan bersubsidi yang hanya terhad kepada warganegara Malaysia.”
“Sistem mesin cashier juga harus diprogram dengan pengesahan MyKad untuk pembeli dilepaskan dengan bayaran bersubsidi, jika bukan warganegara Malaysia, harga jualan akan automatik mengikut bayaran harga pasaran dan bukannya harga yang telah disubsidikan,” katanya.
Namun katanya, mekanisme ini mesti mendapat sokongan dan sambutan penuh oleh pembekal dan penjual, terutama peniaga runcit atau pasaraya.
“Ia seperti yang sedang dilaksanakan di stesen petrol iaitu minyak RON95 hanya untuk kenderaan berdaftar di Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu, samudera.my mendedahkan sekurang-kurangnya RM19 bilion subsidi negara dinikmati warga asing yang membeli-belah barangan bersubsidi di dalam negara selain diseludup dan dijual di pasaran luar negara seperti di Golok, Thailand.
Menurut penganalisis ekonomi, 30 peratus daripada keseluruhan subsidi kepenggunaan yang mencecah RM66.3 bilion bagi 2022 itu merangkumi subsidi petrol, diesel, gas cecair memasak, minyak masak, bil elektrik, harga ayam dan telur.
Hasil tinjauan mendapati pelancong asing terutama dari Singapura menjadikan negara ini ‘syurga beli-belah’, di samping kira-kira dua juta lagi warga asing yang berada di Malaysia yang turut menikmati pelbagai subsidi barangan tanpa had.