Guna Ayat al-Quran Untuk Absahkan Syirik Satu Perbuatan Terkutuk – Aminuddin Yahaya
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Januari 2022 – “Dosa terbesar dalam Islam adalah syirik kepada Allah. Mempergunakan ayat Al-Quran untuk seolah-olah mengabsahkan kesyirikan adalah sesuatu yang terkutuk,” ini kenyataan tegas daripada Pengerusi PEMBELA, Hj Aminuddin Yahaya tentang isu poster tular daripada sebuah akademi.
Poster tular itu berisi ucapan selamat menyambut hari agama sedunia dan juga terjemahan Surah Al-Hujurat, ayat 13.
Ujarnya, itu kali pertama beliau melihat sambutan yang meraikan agama lain yang diabsahkan dengan ayat Al-Quran sedemikian rupa.
Apatah lagi ayat 13 daripada Surah Al-Hujurat, yang diletakkan dalam poster ucapan tersebut adalah mengenai perkara lain, kata Hj Aminuddin di dalam Facebooknya.
Menurut Hj Aminuddin, Pluralisme dan Liberalisme agama itu adalah suatu perangkap yang telah menjerat ramai umat Islam yang terlalu terhegeh-hegeh ‘try hard‘ dengan toleransi.
“Sefaham saya, Hari Agama Sedunia atau World Religion Day adalah perayaan orang beragama Baha’i di mana teras agama tersebut adalah menggabungkan aqidah semua agama. Ini bermakna, hari tersebut adalah perayaan keagamaan dan ianya memang jelas dilarang dalam Islam.”
Kejadian ini membuatkan beliau teringat kepada satu peristiwa di mana sebuah suruhanjaya Interfaith Commision (IFC) yang hampir ditubuhkan ketika arus pluralisme sedang memuncak di Malaysia.
“Sebuah suruhanjaya iaitu Interfaith Commision (IFC) ingin ditubuhkan melalui kuasa Parlimen yang mampu menidakkan kuasa autoriti agama Islam dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.”
“Alhamdulillah, dengan bantahan kuat oleh NGO-NGO Islam dan Majlis-Majlis Agama Islam, ianya berjaya digagalkan.”
Justeru, beliau menggesa para autoriti agama seperti jabatan-jabatan Mufti, Majlis-Majlis Agama Islam, JAKIM dan Menteri Agama untuk memandang serius kejadian poster sambutan hari agama sedunia ini.
Satu ketetapan khusus bahawa perayaan ini diharamkan untuk disambut oleh umat Islam apatah lagi mempergunakan ayat Al-Quran bagi mengabsahkannya perlu diadakan segera.
“Toleransi ada batasannya. Dan batasan itu sudah ‘clear cut’!” tegas Hj Aminuddin.