Tempatan

Gula Patut Naik, 11 Tahun Tak Naik Harga – MSM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2022 – “Sejak 2011, kenaikan harga gula hanya satu sen sekilogram dalam tempoh 11 tahun. Memandangkan tekanan kos sekarang ini mungkin wajar kerajaan meneliti balik harga gula,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd, Syed Feizal Syed Mohammad.

Menurut beliau sepertimana yang dilaporkan oleh Berita Harian, kos pengeluaran gula sudah pun meningkat 30 peratus berikutan kenaikan harga gas, pergerakan tukaran asing dan fret. Kenaikan sebegini mewajarkan pihak kerajaan untuk meneliti kembali harga gula dalam pasaran.

“Jaminan kami adalah untuk rakyat dan negara, tapi pada masa sama kami perlu untung juga.”

Syed Feizal Syed Mohammad berkata, harga gula runcit RM 2.85 sekilogram di sini adalah yang termurah berbanding dengan negara-negara jiran di rantau ini.

“Harga gula di Thailand adalah kira-kira RM3.50 sekilogram dan Singapura dijual pada RM5.90 sekilogram,” katanya.

Kenaikan harga gula ini dijangka tidak akan memberi kesan ketara kepada isi rumah kerana mereka cuma menggunakan kira-kira satu kilogram sebulan, menurut beliau lagi.

Menurut Syed Feizal Syed Mohammad, pihak kerajaan memahami keadaan yang sedang dihadapi oleh industri gula ini kerana terdapat dialog yang kerap di antara pihak industri dengan kerajaan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid pernah mengakui harga barangan dalam negara akan meningkat disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah pengumuman gaji minimum RM1,500.

“Kita akui kenaikan akan berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti masalah COVID-19, pengangkutan, penukaran mata wang asing, perang Ukraine-Rusia dan banjir. Malah, apabila kerajaan umum gaji minimum RM1,500 pun dikhuatiri turut menjadi faktor kenaikan harga,” kata beliau.

Leave a Reply

Back to top button