Terkini

Gugurkan Pertuduhan Terhadap Ahmad Zahid – Peguam Pembela

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 06 September 2021 – Pasukan pembelaan kepada Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berpendapat, pertuduhan mesti digugurkan kerana terdapat penyalahgunaan proses akibat terlalu banyak pendakwaan dan juga kerana ketidakadilan yang berlaku.

Hisyam Teh Poh Teik, peguam yang mewakili Ahmad Zahid berkata, 47 pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya itu sebagai satu bentuk ‘penindasan berlebihan’.

Beliau turut mendakwa pendakwa raya menunjukkan ketidakadilan dengan memilih untuk mendakwa Ahmad Zahid dengan jumlah pertuduhan sebegitu.

Tegasnya, undang-undang tidak membenarkan perkara itu berlaku.

Malah, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak perlu untuk diadili sekiranya berpandukan kepada tuduhan rasuah dan Akta Pencegahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dalam hujahannya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Hisyam memberitahu pendakwa raya juga melakukan ketidakadilan prosedur dan melanggar Seksyen 51A (1) ( c ) Kanun Tatacara Jenayah.

Tambah Hisyam lagi, pendakwa raya kini cuba menafikan tertuduh untuk mempertahankan imunitinya di bawah Seksyen 30 (7) Akta SPRM.

Presiden UMNO itu berdepan dengan 47 pertuduhan di mana 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dengan pasukan pembelaan diketuai Hisyam.

Perbicaraan bersambung esok.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button