Gryphon, Varian Baharu Omicron Mungkin Sudah Merebak Di Malaysia – KJ
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEREMBAN, 22 Oktober 2022 – Subvarian Omicron XBB, Gryphon yang menular di negara jiran, Singapura dilaporkan mungkin telah merebak ke Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini memantau penularan tersebut termasuk di laluan masuk ke negara ini di Tambak Johor dan Jambatan Kedua.
Katanya, gelombang kecil subvarian itu telah dikesan di sini tetapi belum membawa kepada peningkatan kepada kemasukan ke hospital atau kematian.
“Bilangan kes dijangka akan meningkat sedikit untuk beberapa minggu akan datang.”
“Sejauh mana peningkatan itu, pegawai di kementerian saya sedang membuat unjuran berdasarkan kepada model kebolehjangkitan sebelum ini,” ujarnya.
Beliau menambah, tidak menolak kemungkinan pemakaian pelitup muka itu mungkin diwajibkan semula pada masa akan datang, namun buat masa ini jelasnya tidak ada perancangan untuk mengembalikan apa-apa sekatan.
“Rakyat dinasihatkan jangan bimbang. Jalani kehidupan seperti biasa tetapi sentiasa waspada kerana kita sebenarnya masih lagi dalam fasa peralihan pandemik ini.”
“Saya akan buat kenyataan penuh minggu depan selepas mendapat maklumat lebih terperinci mengenai Gryphon.”
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban semalam.