Tempatan

Pembatalan Ordinan Darurat Boleh Dibuat Melalui Dua Cara – Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2021 – Mengikut Perkara 150 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan, pembatalan Ordinan Darurat boleh dibuat melalui dua cara iaitu di luar dan di dalam Dewan Rakyat, kata Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Menurutnya, Ordinan Darurat ketika ini masih lagi berkuat-kuasa selagi mana ia belum diungkai atau dibatalkan di Parlimen.

Katanya, jika ia dilakukan di luar Dewan Rakyat, penarikan ordinan darurat perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Sekiranya ia berlaku di luar dewan, persoalan timbul siapakah yang akan membenarkan pembatalan itu atau penarikan balik itu?”

“Jadi, tafsiran di sini ialah sekiranya berlaku di luar dewan, ia boleh dicadangkan oleh menteri atau jemaah menteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana ordinan itu dibuat oleh Kebawah Duli (KDYMM Yang di-Pertuan Agong).”

“Secara takrifannya ia nyatakan begitu. Siapa yang membuat ordinan itu, maka beliau atau dalam konteks ini, Bagindalah yang akan menarik balik atau membatalkan ordinan itu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, bagi pembatalan di dalam Dewan Rakyat pula, Shamrahayu berkata, ia perlu dibahaskan di Parlimen.

“Tetapi sekiranya ia tidak ditarik balik sebelum Parlimen bersidang, ia hendaklah dibentangkan di kedua-dua dewan (Dewan Rakyat dan Negara).”

“Tujuannya itu untuk diungkaikan sekiranya Parlimen bersedia untuk ungkaikan. Maksud ungkaikan ialah dibatalkan.”

“Jadi, persoalannya ialah kalau nak dibatalkan, adakah Parlimen tidak perlu dibahaskan? Bagi saya pada taksiran untuk dibatalkan, perlu dibahaskan.”

“Jadi ada dua cara, pertama di luar dewan dan di dalam dewan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: