Golongan ‘Kayangan’ Di Malaysia Mewah Subsidi
KUALA LUMPUR, 01 Mac 2023 – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang menawarkan lebih banyak subsidi kepada golongan kaya berbanding dengan golongan yang tidak berkemampuan.
Menurutnya, mereka yang memperolehi pendapatan tinggi hanya terdiri daripada 10% pengguna elektrik namun mereka menggunakan lebih separuh daripada subsidi elektrik. Hal ini turut menunjukkan bahawa subsidi sebenarnya bukan diberikan kepada golongan sasaran.
BACA JUGA: Johor Kembali Banjir
BACA JUGA: Larangan Masuk Cameron Highlands, Petani Hantar Surat Bantahan Kepada Menteri
BACA JUGA: “Sangatlah Hina Arak Dijulang Tetapi Sejarah & Budaya Dipandang Hina” – Aminuddin Yahaya
Pada kenyataan yang sama beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan kini sedang berusaha untuk menangani masalah jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin melalui subsidi bersasar bagi penggunaan elektrik di bawah seliaan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Bagi sektor-sektor yang lain pula, Ahmad Maslan menyatakan bahawa garis masa untuk melaksanakan subsidi bersasar akan diputuskan oleh Kabinet.
Pada sesi Dewan Rakyat pada pagi Selasa, Ahmad Maslan menyatakan bahawa pada tahun lalu Kerajaan telah membelanjakan RM50.8 bilion bagi tujuan subsidi petrol, diesel dan juga gas LPG.
Menurutnya lagi, golongan berpendapatan rendah dianggarkan telah menggunakan 24 peratus daripada subsidi tersebut, manakala golongan pertengahan dan golongan berpendapatan tinggi pula masing-masing telah menggunakan 41 peratus dan 35 peratus daripada subsidi yang sama.
Beliau kemudiannya menjelaskan bahawa Kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan kadar subsidi petrol terhadap golongan berpendapatan tinggi melalui kaedah subsidi bersasar supaya pihaknya dapat menjimat sehingga RM17 bilion dan jumlah tersebut dapat disalurkan kepada sektor yang memerlukan.