Golongan Hina Agama Dan Promosi Gaya Hidup LGBT Akan Dikenakan Tindakan Tegas – Datuk Ahmad Marzuk Shaary
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2021 – Mesyuarat Khas Task Force Menangani LGBT semalam memutuskan bahawa tindakan tegas secara bersepadu bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan mempromosi gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) khususnya di media sosial akan dilaksanakan dengan segera.
Tindakan tersebut antara lain ialah mengenal pasti kekangan yang dihadapi pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu serta mencadangkan pindaan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tindakan itu bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.
“Di media sosial tertentu misalnya, tiada tapisan langsung terhadap kandungan video yang berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan.”
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month apabila gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.”
“Justeru, kami mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT yang tiada tapisan terhadap kandungan video berkaitan hubungan sejenis itu, malah ia giat disebarkan.”
Tambahnya, antara tindakan lain ialah menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan berkaitan penghinaan agama dan mempromosi gaya hidup LGBT.
Mesyuarat Khas Task Force yang dipengerusikan Datuk Ahmad Marzuk itu diadakan selaras Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Antara agensi yang menyertai mesyuarat itu ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum ini, aktivis LGBT tempatan, Numan Afifi menyifatkan cadangan Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris agar kerajaan segera mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas kepada golongan LGBT sebagai mengejutkan dan melampau, terutamanya di saat golongan LGBT sedang menyambut bulan Pride. (https://www.samudera.my/aktivis-lgbt-ikrar-akan-lawan-cadangan-wujudkan-pusat-pemulihan-lgbt/)
Oleh itu, dia menyatakan akan melawan cadangan tersebut.
“Empat tahun lepas aku anjur satu acara #Pride untuk memperingati tragedi pembunuhan di Pulse, sebuah kelab gay di Florida. Tetapi aku diancam bunuh hingga terpaksa diselamatkan ke luar negara,” ciapnya di Twitter.
“Hari ini parti pemerintah cadang nak buat kem tahanan untuk LGBT.”
“Kami akan lawan!”