Tempatan

GMTI 2024: Malaysia Kekal Ungguli Destinasi Percutian Mesra Muslim Terbaik

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 02 Jun 2024 – Malaysia kekal mengungguli kedudukan teratas bagi destinasi percutian mesra Muslim terbaik buat pelancong Muslim untuk kali ke sembilan dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024.

Pengiktirafan berprestij itu selari dengan pencapaian Malaysia apabila turut diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) oleh CrescentRating dan Mastercard untuk dua tahun berturut-turut pada Halal in Travel Awards yang diadakan di Singapura.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin, populariti Malaysia dalam kalangan pelancong Muslim adalah berikutan kemudahan dalam mengakses makanan halal serta pelbagai kemudahan dan perkhidmatan berkaitan agama.

“Di samping itu, ia menawarkan pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim yang mana membolehkan pelancong merasai kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi serta seni dan budaya.

“Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada. Melalui ITC sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia sentiasa berusaha untuk memberi pengalaman yang indah kepada pengembara Islam dalam menunaikan kewajipan agama mereka ketika melancong,” ujar beliau.

Beliau berkata, kerajaan dan pihak berkepentingan industri terus komited untuk menarik pelancong Muslim sekali gus memperkasakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan mereka.

“Oleh sebab itu, ITC menyediakan pelbagai latihan, pembinaan kapasiti, penyelidikan, pembangunan piawaian dan pensijilan.

“Ini memastikan pemain industri memahami keperluan pelancong Muslim dan bersedia untuk memberikan nilai kepada segmen ini,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: