Antarabangsa

Ghana Diserang Virus Marburg, Kini Catat Kematian Ketiga

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GHANA, 03 Ogos 2022 – Seorang kanak-kanak di Ghana meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Marburg Virus Disease (MVD) sekali gus mencatat kematian yang ketiga di negara itu, lapor sebuah portal.

Bagaimanapun, jantina dan umur kanak-kanak berkenaan tidak didedahkan dan ia merupakan satu daripada dua kes yang dilaporkan pada minggu lalu, kata seorang doktor di Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Soce Fall.

“Minggu lalu saya menyebut dua kes tambahan. Satu ialah isteri kepada kes indeks dan satu lagi ialah anak kepada kes indeks dan malangnya anak itu meninggal dunia, tetapi isterinya masih hidup dan bertambah pulih,” kata doktor tersebut.

Menurut WHO, kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan seorang pekerja ladang di daerah Adansi Utara di wilayah Ashanti yang sebelum itu mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Barat. Dia mula bergejala pada 24 Jun lalu dan mula mendapatkan rawatan di hospital pada 26 Jun namun meninggal dunia pada 27 Jun.

Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 51 yang juga pekerja ladang di Perbandaran Bekwai, wilayah Ashanti. Dia mendapatkan rawatan di hospital yang sama seperti kes pertama pada 28 Jun tetapi meninggal dunia pada hari yang sama.

Kedua-dua kes telah diuji positif virus MVD 1 Julai lalu setelah sampel darah mereka dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan Memorial Noguchi (NMIMR) untuk ujian.

Punca jangkitan itu bagaimanapun tidak dapat dikenalpasti dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua kes terbabit tiada sejarah kontak dengan haiwan mati, orang sakit mahupun menghadiri sebarang perhimpunan sosial dalam tempoh tiga minggu bermulanya gejala.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kes datang daripada komuniti yang tinggal dalam persekitaran hutan.

Kedua-dua kes itu menunjukkan gejala cirit-birit, demam, loya dan muntah sebelum meninggal dunia di hospital, kata WHO.

Jelas WHO, MVD merupakan penyakit rawan yang tersebar dari manusia ke manusia melalui sentuhan langsung ke kulit seperti darah, rembesan, anggota badan atau cecair dari mereka yang telah dijangkiti termasuk permukaan yang tercemar dengan cecair ini contohnya pakaian atau tempat tidur.

Virus ini juga boleh tersebar kepada manusia sekiranya mereka terdedah secara berpanjangan kepada persekitaran perlombongan atau gua yang didiami oleh koloni kelawar Rousettus.

Setakat ini, masih tiada lagi vaksin atau rawatan antivirus untuk virus ini, menurut WHO.

Justeru, WHO meminta agar mereka yang bekerja, melakukan aktiviti penyelidikan atau melakukan lawatan di lombong mahupun gua yang didiami koloni kelawar buah agar memakai sarung tangan dan pakaian pelindung lain termasuk pelitup muka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: