Getah Tempatan Boleh Jimatkan Kos Turap Jalan RM0.5 Bilion
KUALA LUMPUR, 16 Februari 2023 – Penggunaan getah asli tempatan dapat menjimatkan kos penurapan jalan raya sehingga RM500 juta ringgit, kata sumber industri negara.
Menurutnya, kualiti getah beku tempatan (cup lump) lebih baik berbanding teknologi lama sisa serbuk tayar terpakai (crum rubber) yang diimport dari luar negara kerana ia mempunyai jangka hayat dua kali ganda lebih tinggi.
BACA JUGA: AidilFitri: Selepas Menu Rahmah, Raya Rahmah Pula Bakal Diperkenalkan
BACA JUGA: 90 Ribu Bangunan Turkiye Risiko Musnah Jika Dilanda Gempa Sekali Lagi
BACA JUGA: Thailand Caj ‘Cukai Pelancong Asing’ Bermula Jun
Tambahnya, penggunaan sumber tempatan itu akan merangsang industri pengeluaran getah yang mengalami penyusutan harga dan membantu pekebun kecil menambah pendapatan.
Namun begitu, usaha untuk mengetengahkan sumber getah asli ke dalam pasaran berdepan tidak semudah yang disangka apabila melibatkan campur tangan orang lain.
Sumber yang juga rapat dalam merencanakan dasar mendakwa, ia sukar kerana campur tangan ‘permainan’ orang tengah dan pelobi asing dari China dan India yang memonopoli industri berkenaan.
“Tindakan mereka yang berterusan cuba menggagalkan usaha kerajaan menggunakan sumber getah beku tempatan sebagai campuran bagi menurap jalan raya, turut mengakibatkan permintaan getah beku dalam negara gagal dipertingkatkan sehingga mengakibatkan pekebun kecil getah terpaksa hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akibat harga komoditi itu yang sangat rendah pada kadar RM2.50 sekilogram,” katanya.
Jelasnya, kumpulan pelobi berkenaan tidak mahu menjejaskan perniagaan mereka jika getah beku tempatan digunakan secara meluas dalam penyelenggaraan jalan raya.