Tempatan

Gesaan Senator Filipina Tuntut Sabah, “Suara-Suara Tak Betul” – Menteri

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Oktober 2022 – “Setakat ini, Wisma Putra sudah mendapat maklum bahawa ada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh senator-senator dan ahli-ahli politik di Filipina di sana dan apabila kerajaan Filipina beri reaksi kepada kehendak ahli-ahli politik ini, barulah Wisma Putra mengambil tindakan. Setakat ini ialah sebagai suara-suara yang tak betul, disuarakan oleh ahli politik di sana,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kenyataan ini dikeluarkannya dalam sesi Parlimen baru-baru ini bagi menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen PH, Kota Kinabalu, Chan Foong Hin sama ada Kerajaan akan memanggil Duta Filipina berhubung isu dua Senator negara itu yang mahu Filipina memperbaharui tuntutan ke atas Sabah.

Tegas Datuk Seri Wan Junaidi, tuntutan senator-senator dari negara Filipina itu dilihat sebagai cubaan ‘menangguk di air keruh’ dan bersifat peribadi.

“Tuntutan pihak mendakwa waris (Kesultanan) Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia sebagai menuntut daripada apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah dahulu, bukan tuntutan yang ada kena mengena dengan kedaulatan Sabah itu sendiri.”

Tambahnya, walau bagaimanapun, pihak Kerajaan mengambil tahu apa yang berlaku di sana dan memantau reaksi dari ahli-ahli politik di sana, lebih-lebih lagi tuntutan ini tidak pernah digugurkan oleh pihak sana.

September lalu, Senator Filipina Francis Tolentino menggesa setiausaha luar yang baharu untuk “merebut peluang” menuntut semula Sabah berdasarkan kemenangan anugerah timbang tara sebanyak RM62.59 bilion oleh waris Kesultanan Sulu di mahkamah timbang tara Eropah.

Perkara ini dibidas oleh Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, yang menegaskan bahawa Sabah kekal sebagai wilayah Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa sejak 1963, dan tiada tuntutan boleh mengatasinya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: