Gerhana Bulan ‘Berdarah’ Lintas Malaysia 8 November Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 07 November 2022 – Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan ‘Berdarah’ pada 8 November 2022 (Selasa) yang berlaku mulai jam 16:02 dan berakhir pada jam 21:56 waktu tempatan.
Menerusi laman Facebook, Agensi Angkasa Malaysia – MYSA memaklumkan, rakyat di negara ini berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh ini apabila Bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada jam 21:56:08.
“Fenomena Gerhana Bulan Penuh pada 8 November 2022 (Selasa) akan berlaku 5.8 hari sebelum Bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923km. Fenomena ini dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.”
Gerhana Bulan ‘Berdarah’ ini merupakan central lunar eclipse, iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera Bulan melalui paksi bayang umbra Bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra Bumi.
Central lunar eclipse merupakan gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah. Magnitud umbra pada kali ini ialah 1.3607 dan nilai Gamma adalah 0.2570 dengan tempoh gerhana penuh maksimum adalah selama 85.7 minit.
Fenomena ini tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila Bulan berada di bawah ufuk.
“Oleh itu, pemerhati dinasihatkan untuk berada di kawasan yang tidak mempunyai halangan di arah timur seperti kawasan yang tinggi ataupun pantai yang menghadap ke arah timur supaya dapat menyaksikan gerhana tersebut seawal mungkin,” kata MYSA.
Kali terakhir fenomena ini dapat disaksikan di Malaysia adalah pada 26 Mei 2021.