Gerakan Mohon Maaf Atas Komen ‘Penjawat Awam Membebankan’
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2023 – Gerakan telah membuat permohonan maaf secara rasmi bagi ulasan yang dibuat oleh salah seorang pemimpin mereka yang mensasarkan penjawat awam di negara ini.
Dalam sebuah sidang media yang semalam, Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong telah mengeluarkan kenyataan bahawa parti tersebut tidak bersetuju dengan ulasan-ulasan yang telah dibuat oleh jurucakap cawangan Sungai Pinang, Mok Kok On.
BACA JUGA: Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang PRN, Raya Haji
BACA JUGA: Ideologi LGBTQ: Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Digesa Wujudkan Garis Panduan Kekang Penyebaran
BACA JUGA: Gagal Bahasa Melayu Atau Sejarah, Lebih 33,000 Lepasan SPM Gagal Dapat Sijil
Dalam kenyataan tersebut, Mah menyatakan bahawa beliau memohon maaf kepada semua warga Malaysia khususnya para penjawat awam. Beliau turut menyatakan permohonan maaf kepada rakan sekutu mereka di Perikatan Nasional iaitu BERSATU dan PAS.
Mok sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan menerusi akaun Facebook beliau dengan mengatakan bahawa penjawat awam adalah beban bagi negara.
Dalam kenyataan yang sama, Mok turut menyatakan bahawa hutang luar negara adalah sangat tinggi dan rizab negara pula semakin berkurangan.
Namun kenyataan tersebut kini sudah dipadam daripada laman Facebook beliau.
Dalam sesi yang sama, Mah juga menyatakan bahawa Mok telahpun diberikan amaran dan kini akan berdepan dengan lembaga disiplin parti.
Ujarnya lagi, tindakan pihak Gerakan dalam menyatakan berkenaan isu ini adalah untuk mengelakkan daripada ulasan-ulasan peribadi Mok itu dianggap sebagai pendirian Perikatan Nasional (PN).