Gerakan Kristianisasi Turut Disebarkan Melalui Perniagaan – Firdaus Wong Wai Hung
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 Mac 2022 – “Gerakan ajaran Kristian di Malaysia bukan sesuatu yang baru malah turut disebar melalui perniagaan terutamanya menerusi sistem Multilevel Marketing (MLM),” ujar pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung.
Jelasnya, apa yang menyebabkan mereka ini berani menyebarkan gerakan Kristianisasi selain berdasarkan keuntungan adalah kurangnya pemantauan teliti dan serius oleh pihak berkuasa.
Menurut Firdaus, Business as Mission serta keuntungan dari perniagaan digunakan untuk membiayai Kristianisasi atau menggunakan program syarikat untuk menyebarkan ajaran Kristian atau menjadikan kesanggupan menyertai program Kristian sebagai syarat mendapat insentif.
Ujar beliau lagi, gerakan Kristianisasi yang menggunakan modus operandi mereka di dalam bidang perniagaan ini sudah dilakukan semenjak tahun 2009 lagi dan tidak ada tindakan tegas dari pihak yang bertanggungjawab bagi menyekat doktrin ini dari terus berleluasa.
“Adalah keterlaluan dalam gerakan licik ini bila menjadikan kesanggupan peserta menyertai program Kristian sebagai syarat mendapat insentif atau imbuhan dari syarikat.”
“Sudah tentu gerakan seumpama ini perlu dipantau secara serius dan tegas oleh pihak berkuasa agama negeri selain berkuasa mengambil tindakan dan mengeluarkan fatwa yang berkaitan.”
Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.
Pihak Samudera.my juga sempat meminta Firdaus berkongsi mengenai tindakan selanjutnya yang akan dilakukan oleh MRM berhubung isu ini.
Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu menjelaskan pihaknya akan terus menyebarkan fakta serta membongkar penipuan sesetengah pihak termasuklah salah satunya yang terbaru dari ahli sebuah MLM yang menafikan penglibatan syarikat itu dalam Kristianisasi.
Ini isu umum, tak boleh khusus pada syarikat itu sahaja kerana masih banyak syarikat yang menjalankan modus operandi yang serupa, ujar beliau.
Walau bagaimanapun beliau tidak boleh mengulas lebih lanjut memandangkan kes syarikat ini akan dibicarakan di mahkamah nanti.
“Selain itu, kita hanya mampu berharap pihak berkuasa segera mengeluarkan fatwa berkenaan dengan mereka-mereka yang terlibat dalam Multilevel Marketing (MLM) selain pihak yang menyokong penyebaran agama lain di negara ini,”ujarnya.