Tempatan

Gerakan Gulingkan Sistem Beraja: Jangan Buta Sejarah – Profesor Dato’ Mahamad Naser Disa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 30 April 2021 – “Gerakan mahu menggulingkan sistem beraja di negara ini bukan baru. Ia bermula sejak 1509 apabila imperialis Barat termasuk Portugis memulakan gerakan imperialisme 3G – Gold, Glory & Gospel terhadap Melaka dan berjaya meruntuhkan empayar Melaka pada tahun 1511,” kata Profesor Dato’ Mahamad Naser Disa, mantan CEO IKSIM.

“Percayakah wahai umat Islam sekalian, pada tahun 2016 puak evangelis Kristian di Malaysia yang dipengaruhi gerakan zionis Kristian US pernah menganjurkan Jerusalem Jubilee di Melaka untuk menyambut 500 tahun kejayaan Portugis meruntuhkan Kesultanan Melayu dan Islam Melaka dan ulang tahun Jubilee Emas kejayaan Israel menawan Baitul Maqdis dan dinamakan Jerusalem?”

“Ramai yang masih tidak menyedari bahawa wujud sekelompok masyarakat biadab yang membawa agenda pengkhianat dalam pemerintahan Negara ini.”

Ujar bekas Peguam Kanan Persekutuan itu, perjuangan Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang Melayu dan Islam bukan hanya bermula pada tahun 1946. Hakikatnya ia sudah tercetus sejak 1511 lagi berpaksikan pembebasan Melaka. Kemudian, diikuti pula oleh jihad umat Islam Kedah menentang Siam dan British mempertahankan aqidah umat Islam.

Menurut beliau lagi, penentangan terhadap penjajahan imperialisme Barat ini juga melibatkan sultan negeri-negeri Melayu lain seperti Selangor, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, bahkan Kesultanan Melayu Aceh dan negeri-negeri di Sumatera.

“Kesultanan Melayu Nusantara ini juga melibatkan Brunei dan Kesultanan Sulu khususnya di Sabah dan Sarawak.”

“Jangan kita fikir Malaysia hanya lahir hasil perjuangan Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC,” katanya.

Beliau menegaskan, pembentukan Malaysia melibatkan perjuangan yang sangat panjang menyelamatkan tanah air Semenanjung Tanah Melayu serta Sarawak dan Sabah dari pengaruh penjajahan Barat.

“Jika tidak kerana perjuangan yang dipimpin Raja-Raja Melayu dan pahlawan-pahlawan Melayu Islam seperti Raja Haji Ali, Tengku Kudin dan ramai lagi yang telah syahid, entah apa akan jadi kepada kita semua.”

“Jangan pandang remeh sikap ganas dan zalim penjajah Barat seperti Sepanyol. Apa yang mereka lakukan terhadap umat Islam di Filipina? Jangan buta sejarah.”

“Begitu juga jangan lupa kepada keganasan Bintang 3 yang kemudiannya diteruskan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), mereka juga mahukan Malaysia menjadi Republik Komunis,” tegasnya.

Menurut Dato` Naser, mereka bukan menentang British atas semangat memelihara aqidah umat Islam tetapi mereka mahukan negara yang anti tuhan.

“Jika mereka berjaya dengan bantuan Parti Komunis Indonesia (PKI) suatu ketika dulu, negara kita mungkin akan menjadi sebagaimana Indocina.”

“Alhamdulillah, kebijaksanaan Raja-Raja Melayu berjaya mewujudkan Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Islam sebagai Agama Negara dan komitmen Hifzuddeen dilafazkan oleh semua Raja-Raja yang ditabalkan sebagai Ketua Tertinggi Negara atas nama YDPA,” katanya.

Beliau berkata, gerakan penentangan kepada Raja-Raja Melayu yang begitu panjang ini sudah tentu dilaksanakan secara terancang. Kini, ia masih terus berlaku secara subversif.

“Peruntukan undang-undang seperti Akta Hasutan dan Bab VI Kanun Keseksaan sudah tersedia. Tapi malangnya penguatkuasaannya hampir tiada.”

“Kejadian penderhakaan al-Maunah dan Lahad Datu bukan sebahagian dari gerakan republik yang sedang menular secara subversif seperti yang tular baru-baru ini.”

“Bahkan pada Februari 2018 ketika Putrajaya International Security Dialogue (PISD-2018) saya telah membentangkan ancaman Radical Evangelist for Christian State (RECS) namun hanya tinggal pembentangan sahaja,” jelas beliau.

Menurutnya, pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu tiada seorang pun termasuklah menterinya yang memanggil beliau untuk mendapatkan bukti-bukti yang lebih terperinci.

Tegas Dato’ Naser, sememangnya kerajaan yang bertanggungjawab mengekang kegiatan subversif sebegini.

Bab VI Penal Code, sesiapa yang bersubahat, contohnya menyeru supaya aktivis politik segera bangkit menaikkan Kerajaan Jesus, atau melantik aktivis Republikan ini sebagai pegawai mereka atau sebagai duta rahmah, mereka juga melakukan kesalahan bersubahat di bawah bab VI Penal Code ini.

“Bukan setakat Akta Hasutan! Kenapa PDRM enggan menyiasat? Tiada siapa yang tahu.”

“Namun kita jangan lupa, sesiapa yang menyembunyikan kegiatan subversif sebegini juga melakukan kesalahan di bawah Bab VI ini.”

“InsyaAllah, kita doakan semoga masanya akan tiba bila siasatan menyeluruh terhadap aktivis Subversif Republikan ini, pegawai-pegawai polis, aktivis-aktivis politik dan aktivis pemikiran agama yang radikal disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan,” ujar beliau mengakhiri wawancara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: