Tempatan

Gerakan Gulingkan Raja: Laksanakan HANRUH Segera – Ustaz Razali (MAMPIR)

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

CYBERJAYA, 22 April 2021 – “Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) melibatkan Kesedaran Patriotisma Kenegaraan seluruh warga, urus tadbir serta kawalan Teknologi Maklumat dan Komunikasi sehinggalah kepada menangani gerakan subversif mesti dilaksanakan seberapa segera.”

“Jika ternyata ada unsur membangkitkan perasaan ketidaksetiaan kepada Raja seperti yang dinyatakan dalam Perkara 149 (1b), maka ia boleh disabitkan di bawah kuasa khas menentang perbuatan subversif.”

Kata Wakil Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Ustaz Razali bin Daud dalam ulasannya mengenai isu #DengkiKe yang trending di Twitter beberapa hari lalu.

Menurut Ustaz Razali, terdapat tiga faktor bagaimana gerakan untuk menggulingkan sistem Raja-Raja Melayu ini boleh wujud.

“Punca pertama, sifat tamak dan gila kuasa golongan kapitalis dan politikus untuk agenda mereka atau agenda “master” (Tuan) mereka.“

“Kedua, kurang kewibawaan dan kesepaduan di pihak Institusi Raja-Raja sehingga memberi alasan, ruang serta peluang kepada golongan petualang menjalankan agenda mereka.”

“Ketiga, kurang faham serta kesedaran masyarakat terhadap Institusi Raja-Raja dan sistem politik Kenegaraan menyebabkan mudah diprovokasi dan dimanipulasi.”

Ujar beliau lagi, propaganda gerakan ini sudah lama timbul, namun krisis ketidakstabilan politik, ekonomi dan kekangan pandemik serta layanan yang tidak seimbang menjadi kesempatan golongan ini memanaskan lagi kemarahan rakyat terhadap pemerintah atau golongan kayangan.

Justeru, bagi menangani perkara ini, Ustaz Razali berpendapat, agenda “Raja, Ulama dan Rakyat berpisah tiada” mesti direalisasikan bersama oleh pihak Institusi Raja-Raja, golongan Agamawan dan aktivis masyarakat.

Selain itu, badan bebas yang layak, ikhlas, terbuka dan tiada kepentingan mana-mana parti atau kumpulan yang dapat memberikan pandangan nasihat dari perspektif yang lebih jujur dan berbeza dari sumber rasmi atau dalaman kepada pihak Institusi Raja-Raja perlulah diwujudkan.

“Hal ini diperuntukkan dalam Perkara 40(3) Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau.

“Dan yang terakhir, kefahaman terhadap tuntutan Sumpah DiRaja pada Perkara 37 dan perkara lain yang berkaitan di dalam Perlembagaan Persekutuan menurut tafsiran yang menepati konteks watan mesti dijelaskan kepada semua warga termasuk pihak Institusi Raja-Raja,” kata Ustaz Razali menutup bicara.

Beberapa hari lalu, #DengkiKe trending di laman Twitter selepas seorang pengguna Twitter tidak berpuas hati dengan komen balasan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Instagram baginda berkaitan vaksin.

Perkara ini kemudiannya diambil kesempatan oleh golongan subversif untuk menghasut supaya sistem Monarki digulingkan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button