Generasi Ketiga Pasca Kematian Haniyeh Lebih Berbahaya Kepada Israel
SHAH ALAM, 04 Ogos 2024 – Generasi ketiga pasca kematian Haniyeh lebih berbahaya kepada rejim aparteid Zionis Israel, tegas Pemerhati Politik Antarabangsa, Mohd Nasaie Ismail.
Menerusi program Interviu bertajuk Hamas Selepas Haniyeh yang dianjurkan baru-baru ini, beliau berkata, pemergian bekas Perdana Menteri Palestin dan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh tidak akan menguncupkan semangat juang membebaskan tanah Palestin, sebaliknya bakal menjadi ancaman besar buat rejim Zionis di masa akan datang.
Katanya, “Selepas kematian Haniyeh ini akan munculnya generasi ketiga yang lebih canggih, lebih hebat perlawanannya yang pastinya tidak akan dijangkau oleh Israel terhadap generasi ini yang berjaya membina hubungan antarabangsa.”
“Rakyat Palestin sangat tinggi dari segi pendidikan sebab itu pada hari ini mereka muncul dengan teknologi-teknologi baharu.”
Tambah beliau, kebanyakan generasi baharu Palestin semakin pintar dan berpotensi sehingga mampu memberi kesan buruk terhadap Zionis Israel.
Mereka terdiri daripada generasi berpendidikan kerana kebanyakan anak-anak Palestin ini berada di Britain, Jerman, Amerika Syarikat termasuk Malaysia yang mana mereka ialah daripada golongan saintis, jurutera serta ahli perniagaan yang hebat.
Nasaie turut menekankan bahawa, “Anak-anak ini akan balik sama ada secara fizikal atau tidak bagi membantu perjuangan pembebasan Palestin dari luar dan dalam yang pasti kesannya akan lebih buruk kepada Israel.”
Dalam pada itu, kematian Haniyeh juga akan membina lebih banyak kesatuan dan gerakan politik dalam membebaskan bumi al-Aqsa.