Gender Ketiga Perlu Dilindungi Bawah Akta Gangguan Seksual – Ahli Parlimen Amanah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2022 – Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Haji Hasanuddin bin Mohd Yunus menggesa perluasan perlindungan Akta Anti-Gangguan Seksual terhadap gender ketiga, walaupun golongan LGBT tidak mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia.
Lapor Malay Mail, beliau berkata bahawa Rang Undang-Undang (RUU) baharu itu seharusnya memberi perlindungan kepada masyarakat secara menyeluruh, meskipun mendapat tentangan daripada Parlimen dan ahlinya.
“Semasa kita bercakap tentang definisi jantina (dalam RUU), walaupun kita tidak bersetuju dengan kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai gender ketiga di antara lelaki dan perempuan, walaupun sebagai Ahli Parlimen kita tidak menyokong, kita tidak boleh menafikan bahawa mereka juga wujud dan juga boleh menjadi mangsa gangguan seksual,” jelasnya.
Tambah beliau, “Kita sebagai Ahli Parlimen mesti memikirkan cara untuk melindungi mereka supaya tiada komuniti yang akan menjadi mangsa, tujuan kita adalah untuk memastikan agar tiada penganiayaan yang akan berlaku dalam situasi yang melibatkan mereka.”
Walaupun parti AMANAH sebelum ini menyatakan secara terbuka bahawa mereka ‘tidak bersetuju’ dengan kepelbagaian seksualiti dan identiti jantina, mereka tetap menyokong dalam memberi perlindungan kepada golongan tersebut.