Gempa Turkiye-Syria: Lebih 21 NGO Malaysia-Indonesia Sasar Kutipan Bantuan RM3 Juta
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 08 Februari 2023 – Lebih 21 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Indonesia berganding bahu menyasarkan kutipan bantuan sebanyak RM3 juta ekoran tragedi gempa yang berlaku di Turkiye dan Syria baru-baru ini.
Sasaran dana tersebut akan digunakan untuk 3 fasa utama iaitu fasa mencari dan menyelamat mangsa, fasa bantuan pasca bencana dan juga fasa pemulihan.
Menerusi sebuah kenyataan media, Malaysia for Syria (MFS) dan Global Peace Mission (GPM) bersama lebih 21 NGO berkenaan telah menubuh sebuah Gabungan NGO Kemanusiaan Prihatin Gempa Bumi Turkiye dan Syria bagi menggerakkan usaha solidariti kemanusian kepada mangsa-mangsa terlibat selain mengatur koordinasi bantuan kecemasan NGO Malaysia-Indonesia ke dua negara tersebut.
Dalam pada itu, sejumlah RM250,000 sumbangan awal akan dibawa oleh pasukan peninjau yang dijangka bertolak esok, Khamis, 09 Februari 2023. Dana berkenaan akan menumpukan bantuan untuk membeli peralatan mencari dan menyelamat, bantuan perlindungan sementara seperti khemah dan barangan keperluan asas serta makanan sedia untuk dimakan.
BACA JUGA: Gempa Turkiye: Kerajaan Berusaha Bawa Pulang 13 Warga Malaysia Yang Terkandas
BACA JUGA: Takziah Kepada Turkiye & Syria, Terima Kasih SMART – PUTRA
BACA JUGA: Nabi Adam AS Ada Intellectual Capacity Untuk Terima Wahyu & Ajaran
Selain itu, bagi menghadapi cuaca musim sejuk ketika ini, petrol dan bahan bakar juga diagihkan kepada mangsa. Pada masa sama, sejumlah kit musim sejuk (baju sejuk, stoking, sarung tangan dan topi musim sejuk) bernilai RM150,000 hasil sumbangan Decathlon juga akan diterbangkan ke Turkiye melalui kargo khas penerbangan Turkish Airlines.
Kenyataan turut menyebut bahawa dua pusat koordinasi bantuan dan perlindungan sementara telah diwujudkan iaitu di Gaziantep, Turki dan Aleppo, Syria.
Mengulas lanjut, gabungan ini menyeru orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan bantuan supaya melakukannya menerusi akaun-akaun NGO gabungan.
Antara agensi yang terlibat adalah Malaysia For Syria (MFS); Global Peace Mission (GPM) Malaysia; Muslim Volunteer Malaysia (MVM); Hayrat Relief Malaysia; Impactive Malaysia; Cinta Syria Malaysia (CSM); DT Peduli Indonesia dan Asar Humanity Indonesia dan Childrity.
“Gabungan ini mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan dan solidariti kemanusiaan rakyat Malaysia dan juga Indonesia dan menyeru agar dapat sama-sama berdoa untuk keselamatan mereka yang terkesan dengan gempa bumi yang berlaku.”