Tempatan

Gempa di Semenanjung, Salji di Sabah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SABAH, 01 Mac 2022 – Selepas kejadian gegaran yang berlaku di beberapa lokasi di Lembah Klang berikutan gempa bumi di Sumatera, Indonesia, negara digemparkan pula dengan kehadiran salji di Gunung Kinabalu, Sabah.

Fenomena tersebut menggemparkan pendaki dan malim gunung serta dipercayai berlaku di Sayat-Sayat sehingga puncak Gunung Kinabalu di Kilometer 8.72.

Sebuah audio visual berjaya dirakam oleh pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, yang mengatakan bahawa fenomena singkat itu terjadi secara spontan sewaktu beliau sedang menunggu pendaki pada jam 7.18 pagi.

“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada salji turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit,”

“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” lapornya kepada Sinar Harian.

Tuntasnya lagi, fenomena yang berlaku dalam dua hingga tiga minit itu memperlihatkan dengan jelas strukturnya seperti salji dan bukanlah seperti ketulan ais yang biasa dilihat di puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat,”
Fenomena itu menangkap perhatian para pendaki apabila mereka turut menyaksikan kehadiran ‘salji’ di puncak gunung tersebut.

“Ada ramai pendaki ketika itu, dan saya terpaksa menunggu mereka lebih lama sedikit kerana pendaki yang lain sedang menyaksikan kehadiran ‘salji’ di atas puncak,” ujar Hajiri.

Menurut pengalaman Hajiri yang sudah 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, fenomena tersebut bukan pertama kali terjadi sebaliknya ia pernah berlaku pada tahun 2018.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah mengatakan bahawa fenomena yang berlaku di Gunung Kinabalu itu bukanlah suatu kejadian yang mustahil.

Hal ini kerana, fenomena yang jarang dilihat tapi boleh berlaku tersebut terjadi apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celcius berserta dengan kelembapan yang mencukupi.

Justinus Guntabid, Penolong Pengarah Taman Kinabalu berkata, fenomena ini berlaku dalam tempoh lebih lama berbanding sewaktu tahun 1975.

“Suhu ini lebih sejuk daripada biasa pada tahun ini, kebiasaannya (dalam rekod) kami, suhu direkodkan pada 7.5 Celcius. Jadi, penurunan berlaku, kelembapan pula ialah di antara 52 dan 62 peratus dan ini direkodkan sekitar jam 2 pagi dan 10 pagi, jadi kelembapan itu adalah lebih daripada biasa,” ulasnya.

Mengulas lanjut akan fenomena itu, Justinus menganggap bahawa pendaki-pendaki yang berada di puncak tanah tinggi itu sebagai mereka yang bertuah kerana dapat menyaksikan dan merasakan keterujaan akan fenomena yang jarang berlaku ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: