Gelekan Ghairah: Penganjur Mohon Permit Tidak Dibatalkan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KANGAR, 31 Januari 2023 – Pihak penganjur Karnival Jualan Lelong Utara memohon kepada Majlis Perbandaran Kangar Perlis dan Kerajaan Negeri Perlis untuk tidak membatalkan permit selepas tular video persembahan aksi tarian gelek mengghairahkan semasa karnival tersebut berlangsung.
“Merujuk kepada isu persembahan nyanyian dan tarian yang berlaku pada malam 28 Januari 2023 semasa Karnival Jualan Lelong Utara sedang berlangsung di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, pihak Majlis telah memanggil penganjur karnival tersebut pada petang 29 Januari 2023 bagi membincangkan pelanggaran syarat yang telah berlaku,” kata Majlis Perbandaran Kangar Perlis dalam satu kenyataan di Facebook.
BACA JUGA: AMARAN Hujan Berterusan Di 4 Negeri dan Tahap Buruk Di Sarawak
BACA JUGA: 3 Bulan, Jawatankuasa Kaji Dasar Pengajian Tinggi
BACA JUGA: 2 Negeri Belum Capai Prevalen Antibodi Penyakit Kaki Gajah – KP Kesihatan
Dalam hubungan ini, pihak penganjur telah mengaku kesilapan dan pelanggaran syarat penganjuran yang telah dilakukan serta telah memohon maaf secara lisan semasa perjumpaan tersebut.
Pihak penganjur juga kemudiannya telah mengemukakan surat permohonan maaf secara rasmi kepada pihak Majlis dan Kerajaan Negeri.
Tambah kenyataan tersebut, pihak penganjur juga telah merayu supaya permit penganjuran karnival tidak dibatalkan dan supaya karnival jualan tersebut dapat diteruskan sehingga 5 Februari 2023 seperti yang dijadualkan bagi mengelakkan kerugian di pihak penganjur dan para peniaga yang terlibat.
“Berdasarkan permohonan maaf tersebut dan setelah mempertimbangkan kerugian yang akan dialami oleh para peniaga yang telah mengeluarkan perbelanjaan untuk menyertai karnival berkenaan, pihak Majlis bersetuju membenarkan karnival jualan lelong tersebut diteruskan, dengan syarat hanya aktiviti jualan sahaja yang dibenarkan tanpa melibatkan acara berbentuk hiburan,” tegas Majlis.
Selain itu, pihak Majlis juga sedang meneliti bentuk tindakan lanjut lain yang bersesuaian atau wajar dikenakan kepada penganjur.
Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial berdurasi 2 minit 18 saat yang menunjukkan persembahan seorang artis jemputan menyanyikan lagu dangdut dan memperagakan aksi gelek mengghairahkan sehingga menarik beberapa pengunjung lelaki dan wanita untuk menari bersama sekali gus mencetuskan kontroversi.