Gejala Batuk Kering Meningkat 17%, Kematian Naik 12% – Menteri
PUTRAJAYA, 24 Mac 2023 – Angka kes batuk kering (TB) dalam negara meningkat sebanyak 17%, manakala bilangan kematian meningkat 12%, dedah Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar kejadian penyakit itu di Malaysia adalah 97 orang daripada setiap 100,000 individu.
“Bagaimanapun, kadar kejadian sebenar yang dilaporkan adalah lebih rendah daripada anggaran WHO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2022 meningkat sebanyak 3,664 kes iaitu 25,391 berbanding 21,727 kes pada tahun sebelumnya.
Manakala angka kematian akibat penyakit tersebut dalam Malaysia pula mencatatkan 2,572 kematian pada tahun lalu berbanding 2,288 kematian pada 2021.
BACA JUGA: Jemaah Menteri Setuju Mansuh Hukuman Mati, Penjara Seumur Hidup
BACA JUGA: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Buat Penjawat Awam Dibayar 17 April Ini
BACA JUGA: Dua Undang-Undang Baharu Jenayah Seksual Kanak-Kanak Dibentang 29 Mac Ini
Tambah Zaliha, bagi mengurangkan risiko kematian, individu yang mempunyai simptom TB perlu mendapatkan rawatan awal. Antara simptom-simptomnya ialah batuk melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan, penurunan berat badan dan batuk berdarah.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan orang ramai bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) jika individu menolak atau menghentikan rawatan penyakit TB.
Beliau turut menyeru agar maklumat salah serta stigma dihentikan terhadap penyakit berkenaan.