Garis Panduan Tadbir Urus & Etika AI Dilancar Hujung Tahun Ini
GEORGE TOWN, 12 Ogos 2024 – Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan (AI) Negara akan dilancar hujung tahun ini.
Memetik laporan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, ketika ini garis panduan berkenaan yang dibangunkan bersama Kementerian Digital sedang berada pada peringkat akhir.
“Kita sudah sampai ke peringkat akhir dan dalam masa hujung tahun ini ia akan dilancarkan, ini kerana tempoh waktu yang ditetapkan adalah pada tahun ini kita perlu lancarkan garis panduan tersebut.”
“Kami tengah dapatkan tarikh sama ada Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang akan lancarkan garis panduan ini,” ujar beliau.
Setakat ini, garis panduan tersebut masih belum dibentangkan kepada Kabinet dan ia akan dibentangkan sebelum dilancarkan.
Dalam perkembangan lain, menteri itu memaklumkan, Hab Pendidikan AI Pulau Pinang adalah hab pertama dalam negara dan pihaknya berharap model pembangunan itu dapat dikembangkan ke negeri-negeri lain.