Tempatan

Ganjaran RM150 Ribu Cari Orang Hilang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SARAWAK, 22 September 2022 – Ahli keluarga kepada seorang lelaki berusia 46 tahun yang hilang ketika melakukan pandu uji jet ski di perairan berdekatan Pulau Talang-Talang, Sematan menawarkan ganjaran sebanyak RM30,000 dan RM150,000 jika mangsa ditemukan dalam keadaan hidup.

Mangsa, Lee Chong Loong dilaporkan hilang Jumaat lalu dipercayai memakai baju berlengan dan seluar panjang berwarna hitam serta memiliki tatu pada badannya.

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat, sila hubungi 019-8553333 atau 016-8872000. Kami merayu kepada orang awam untuk membantu mencari Chong Loong yang dilaporkan hilang ketika menaiki jet ski dari Pulau Talang Talang ke jeti Santubong.”

“Pertolongan dalam pencarian Chong Loong amat diperlukan secepat mungkin,” kata keluarga mangsa dalam poster kehilangan yang tular sejak semalam.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Pegawai Bomba Kanan 1 Jaree Mohamad memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima semalam masih lagi gagal untuk mengesan mangsa, lapor media tempatan.

“Anggota SAR dari BBP Lundu sudah melakukan pencarian menggunakan sebuah bot penyelamat di sekitar Pulau Talang-Talang dan seterusnya melakukan pencarian di Muara Sungai Lundu.”

“Anggota SAR dari BBP Petra Jaya juga melakukan pencarian menggunakan dua unit bot penyelamat di persisiran pantai dari Tanjung Serpan sehingga kawasan Pulau Talang-Talang serta melakukan pencarian di sekitar Pantai Trombol dan Muara Sungai Buntal.”

“Namun, mangsa masih belum dijumpai,” katanya.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat mangsa akan tetap diteruskan pada hari ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: