Tempatan

Gangguan Seksual Peguam Wanita: Suspek Lupa Malaysia Ada Undang-Undang – Fatihah Jamhari

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Julai 2022 – “Pada 19 September 2020 saya telah diganggu secara seksual apabila saya menerima hantaran yang jelik, lucah dan sumbang daripada seorang wanita yang telah tanpa rasa segan mahupun bersalah menghantar gambar pelbagai kemaluan wanita kepada saya secara terbuka di Twitter,” ujar peguam, Fatihah Jamhari.

Menurutnya, mungkin suspek dan orang ramai lupa bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas terhadap Gangguan Seksual di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta pelbagai lagi Akta Parlimen yang masih berkuatkuasa.

“Saya telah menasihati ramai orang berulang kali untuk menggunakan peruntukan yang terdapat dalam kerangka perundangan sedia ada untuk memerangi Gangguan Seksual dan pada 20 September 2020 yang lalu, malangnya saya sendiri terpaksa memanfaatkan peruntukan-peruntukan ini bagi memelihara kehormatan diri saya dan kesantunan masyarakat di sekeliling saya,” tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) berkata, setelah hampir 10 bulan menunggu pembelaan, hari ini (semalam) suspek telah pun dibacakan pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Orang Kena Saman (OKS) minta dibicarakan dan akan hantar representasi ke pendakwa raya dengan jaminan RM3000.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan pegawai penyiasat di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (MCM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara,”ujarnya.

Fatihah berkata, takrifan Gangguan Seksual adalah sangat jelas, apa-apa yang tidak diingini dan mengganggu yang bersifat seksual boleh dianggap sebagai Gangguan Seksual.

“Tetapi untuk menguji takrifan ini dengan lebih lanjut, jika saya sendiri perlu membawa perkara itu ke mahkamah bagi mendidik orang ramai bahawa komen lucah dan kesat dengan konotasi seksual adalah sama sekali salah dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita yang telah dididik untuk beradab tinggi, maka saya pasrah dengan aturan ini,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai seorang peguam dan aktivis hak wanita yang menganggotai Jawatankuasa Penggubal Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual, namun menerima begitu banyak hantaran awam yang bersifat mengganggu (apatah lagi secara seksual) di pelbagai landasan media sosial, saya anggap sebagai suatu ironi yang ketara.

“Maruah diri saya dan martabat saya sebagai seorang wanita tidak akan saya benarkan diinjak tanpa pembelaan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Biro Undang-Undang & Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) itu berkata, beliau percaya pada perlindungan undang-undang, dan saya harap rakyat Malaysia yang lain juga begitu.

“Saya menjemput setiap daripada kita untuk menghayati kembali erti sebenar Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi prinsip asas kita sebagai rakyat di bumi bertuah ini.”

“Semoga adab yang tinggi mampu memulihkan juga gejolak sosioekonomi di negara kita kini,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: