Tempatan

Gaji Penjawat Awam Tidak Relevan, Tercorot Berbanding Negara Lain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2022 – Kadar gaji minimum penjawat awam di Malaysia dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa sekali gus menjadi yang tercorot berbanding negara lain di Asia Tenggara, ujar Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zulkifli Mohamed.

Katanya, gaji minimum penjawat awam perlu dinaikkan kerana tidak berbaloi dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun. Ia juga perlu disemak memandangkan sudah 15 tahun tidak dikaji dan masih berada pada kadar RM1,200.

Menurutnya, seorang pembantu tadbir kerajaan gred N11 menerima gaji permulaan berjumlah RM1,216 dan hanya menerima Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM80 setahun. Walaupun berkhidmat selama 10 tahun, namun mereka masih menerima gaji sebanyak RM2,000.

Lapor Utusan Malaysia, situasi berkenaan menyebabkan seramai 650,000 penjawat awam dalam kumpulan pelaksana tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Beliau turut meluahkan kebimbangannya apabila jumlah gaji yang diterima itu dikatakan hanya bertahan selama tiga hari sahaja selepas menerima gaji dan membuat bayaran pelbagai perbelanjaan seperti sewa rumah dan pendidikan anak-anak.

“Ini tidak termasuk potongan pinjaman bank dan sewa kuarters, baki itulah yang tinggal, itulah untuk menyara mereka dan keluarga. Apatah lagi serba-serbi barang sudah meningkat tetapi gaji tidak pula meningkat.”

Meskipun penjawat awam dikatakan mempunyai pelbagai elaun, namun ia masih rendah dan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, ujarnya.

Tambah Zulkifli, kesempitan itu menyebabkan ada di antara mereka terpaksa mencari pendapatan tambahan dan kerja separuh masa selepas waktu pejabat sehingga lewat malam menanggung isteri dan anak-anak.

Zulkifli yang juga merupakan Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Universiti-Universiti Awam Malaysia (GAKUM) menuntut agar Kerajaan menyemak kadar gaji kepada RM1,800 dan menaikkan kadar KGT sebanyak 35 peratus yang melibatkan kumpulan pelaksana gred 11 hingga 40.

“Kami berharap suara ini dapat didengar dan tidak dipandang sepi Kerajaan supaya menaikkan gaji minimum dengan kadar segera. Jika tidak, kami berhasrat berkumpul bersama-sama 10,000 penjawat awam di Putrajaya bagi menyuarakan tuntutan ini,” tegasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: