Gaji Minimum RM1800 Sebulan – CUEPACS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 25 Februari 2022 – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan gaji minimum baharu untuk sektor awam daripada RM1,200 kepada RM1,800 sebulan setimpal dengan kos perbelanjaan dan barangan yang kian meningkat.
Datuk Adnan Mat, Presiden CUEPACS menyatakan bahawa sebelum ini pihaknya pernah mengutarakan mengenai perkara tersebut termasuk cadangan gaji RM1,800 sebulan kepada Perdana Menteri atas sebab angka berkenaan merupakan satu jumlah yang munasabah untuk dinilai pihak kerajaan.
“Pada masa sama, Perdana Menteri juga memaklumkan dalam Kabinet dan Parlimen pada 27 November lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menyasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.”
“Namun sasaran di bawah RMK-12 ini sudah tentu tidak akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah kerajaan sendiri,” ulasnya sewaktu menjadi tetamu secara maya dalam program Koresponden bertajuk ‘Penentuan Nasib Penjawat Awam’ yang diterbitkan oleh BERNAMA TV pada 22 Februari lalu.
Tambah beliau, sebelum ini juga kerajaan menetapkan bahawa gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan sistem saraan perkhidmatan awam itu kali terakhir disemak pada 2002.
“CUEPACS melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan setiap 10 tahun, maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk menyemaknya semula.”
“Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga berubah dengan (harga) barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lalu,” ujarnya.
Sebelum ini, CUEPACS menggesa pihak kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang seperti tidak lagi relevan buat masa ini dan bagaikan masih di bawah paras kemiskinan.
“Kita mencadangkan sistem saraan baharu diwujudkan dengan meletakkan sasaran gaji minimum RM1,800 kerana jika dicampur dengan semua imbuhan akan menjadikan angkanya RM2,450 iaitu melepasi garis kemiskinan RM2,208,” ulasnya selepas Majlis Makan Malam Bersama Kepemimpinan CUEPACS Kelantan bulan lalu.
“Sekiranya sistem saraan ini tidak diwujudkan, sudah tentu unjuran amat sukar dijalankan kerana kenaikan gaji tahunan paling minimum adalah RM80 dan lagi tiga tahun hanya bertambah RM240, sudah pasti jauh di bawah garis kemiskinan.”