Tempatan

Gaji Minimum RM1,500 Di Bandar Besar Tidak Relevan – MTUC

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 13 Ogos 2024 – Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani menyifatkan gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan dua tahun lalu tidak lagi relevan.

Gesanya, kerajaan perlu meneliti semula kadar gaji minimum selain menaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup terutama di bandar-bandar besar di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Menurut beliau, gaji minimum sebanyak RM1,500 kepada pekerja di bandar-bandar khususnya yang sudah berkeluarga memberi implikasi kewangan sehinggakan memaksa golongan itu mengurangkan perbelanjaan penting atau mencari pekerjaan tambahan bagi memenuhi keperluan sekeluarga.

“Justeru, MTUC mencadangkan pelarasan gaji minimum yang lebih fleksibel disesuaikan mengikut kos sara hidup di kawasan setempat. Ini adalah untuk memastikan kesejahteraan pekerja di bandar-bandar besar dapat dikekalkan, seiring de­ngan peningkatan kos hidup.”

“MTUC juga mengesyorkan penyelarasan gaji minimum dilakukan secara berkala, tanpa perlu menunggu sehingga dua tahun untuk dilakukan penilaian semula.”

“Ia bertujuan untuk memastikan kadarnya kekal relevan dan mencerminkan perubahan ekonomi serta kos hidup semasa,” katanya.

Kali terakhir kerajaan menyemak kadar gaji minimum adalah pada Mei 2022 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan ketika itu menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 untuk syarikat swasta yang mempunyai lima pekerja dan ke atas.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, penyesuaian gaji minimum tetap diperlukan untuk memastikan bahawa ia selaras dengan kadar inflasi dan peningkatan harga barang serta perkhidmatan dari semasa ke masa.

Katanya, penyesuaian berkala ini penting untuk memastikan kuasa beli pekerja tidak merosot sekali gus membolehkan mereka memenuhi keperluan asas secara konsisten.

“Kadar inflasi yang berterusan menyebabkan nilai sebenar RM1,500 semakin menurun. Ini menyebabkan kuasa beli pekerja tersebut merosot, menjadikannya tidak lagi relevan jika tidak disemak dan dinaikkan secara berkala.”

“Oleh itu, amat penting untuk memastikan bahawa gaji minimum disemak dan dinaikkan selaras dengan inflasi serta peningkatan kos sara hidup.”

“Langkah ini akan membantu menjaga kesejahteraan pekerja dan memastikan mereka mampu memenuhi keperluan asas dengan pendapatan yang diperoleh,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Effendy menegaskan bahawa kesedaran mengenai pelaksanaan gaji minimum sangat penting kerana masih terdapat kelemahan dalam pelaksanaannya.

Terdapat laporan bahawa masih ada majikan tidak melaksanakan gaji minimum RM1,500 seperti ditetapkan. Oleh itu, penguatkuasaan yang berterusan perlu dilaksanakan untuk memastikan dasar ini dipatuhi semua pihak secara konsisten.”

“Ini akan membantu dalam melindungi hak pekerja dan memastikan keadilan dalam sistem penggajian negara,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: