Gaji Minimum: Majikan Kurang 5 Pekerja Boleh Tangguh Pelaksanaan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 27 Disember 2022 – “Setelah mengambil kira kesediaan kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang dari lima (5) orang, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan kuat kuasa Gaji Minimum RM1,500 dari 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023,” kata Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan ini dibuat setelah Kerajaan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun 2023.
Namun, bagi majikan yang menggajikan lima (5) orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira jumlah pekerja, majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupation, MASCO) masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 yang telah berkuat kuasa bermula 1 Mei 2022 lalu.
“Saya amat berharap dengan penangguhan tambahan selama enam (6) bulan ini dapat memberikan peluang untuk penyelarasan dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima (5) orang pekerja,” kata YB V. Sivakumar.
Terdahulu, Kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Gaji Minimum (PGM) dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan pada 1 Mei 2022 di semua sektor tanpa mengira wilayah bagi semua majikan yang menggajikan lima (5) orang pekerja atau lebih.
Manakala, bagi semua majikan yang menggajikan kurang dari lima pekerja, pihak majikan telah diberi pengecualian dan diberi tempoh untuk melaksanakan PGM 2022 bermula pada 1 Januari 2023.