Gaji Kecil, Barang Pula Naik Harga, Siswazah Terpaksa Buat Dua Kerja
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Siswazah yang baru menamatkan pengajian terpaksa melakukan kerja sambilan susulan daripada permulaan gaji yang rendah dan ditambah pula dengan peningkatan kadar inflasi selepas sekatan pergerakan COVID-19.
Lapor The Malaysian Insight, permulaan gaji yang rendah itu telah memaksa siswazah baharu ini melakukan dua kerja bagi menambah pendapatan.
Kata seorang siswazah perniagaan dari Johor bernama Leven Tang, gaji yang ditawarkan kepadanya jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan selepas dia ditamatkan pengajian.
“Saya ditawarkan antara RM1,500 dan RM2,000,” katanya.
Namun, tambahnya, walaupun pendapatan dapat dijana dengan melakukan pelbagai kerja seperti berniaga secara dalam talian dan mengajar tuisyen, keadaan masih sukar disebabkan inflasi serta kenaikan harga barang dan insurans. Ia menjadikannya sukar untuk melunaskan semua bil.
Lapor akhbar itu lagi, Teoh Show Tze yang bekerja dalam pemasaran digital menyatakan, biarpun berpendapatan RM3,000 sebulan, ia masih tidak dapat menampung kos sara hidup.
“Saya dapat kerja dengan gaji permulaan yang baik tetapi ia masih tidak cukup sebab sewa rumah di Kuala Lumpur tinggi.”
“Apabila saya tidak cukup wang, saya mula cari kerja sambilan. Akhirnya saya dapat kerja penulisan iklan,” ujarnya.
Bahkan, dia turut memasak di rumah sebagai langkah berjimat susulan syarikatnya yang melaksanakan konsep kerja hibrid.
Seorang lagi siswazah baharu, Liew Wei Yong berkata, dia mula menjalankan perniagaan sendiri bagi menambah pendapatan.
“Walaupun tidak mudah, ia cara yang lebih baik untuk hidup,” katanya.