NGO

Gagasan Bangsa Bukan ‘Penumpang’, Bawa Suara Rakyat Sebenar – Aminuddin Yahaya

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2022 – Gagasan Bangsa (GB) adalah merupakan gabungan pemimpin-pemimpin Melayu pelbagai perkumpulan dari seluruh Malaysia dengan pelbagai latar belakang baik dari NGO Melayu, ahli akademik, agamawan, alam sekitar, profesional (peguam, dokor), kesenian, bekas pegawai Kerajaan dan pelbagai lagi, yang prihatin terhadap isu negara dan apa yang dihadapi oleh rakyat.

Kumpulan-kumpulan yang bergabung di bawah GB telah berjuang sejak bertahun lama dalam pelbagai isu, namun ia tidak mendapat sambutan yang wajar oleh pihak pemerintah. Malah keadaan negara semakin membimbangkan dan rakyat semakin menderita. Jurang pendapatan antara kaum semakin melebar, tanah rizab Melayu semakin menghilang, pendidikan Islam semakin dipinggirkan, alam sekitar semakin rosak, rasuah semakin menjadi-jadi dan pelbagai negativiti lagi. Ini semua disebabkan kelemahan pimpinan negara yang gagal menanganinya.

Objektif GB ditubuhkan adalah untuk menjadi satu suara yang kuat dalam memastikan semua isu-isu yang dinyatakan dapat dibaiki dan direalisasikan. Untuk menjadikan ianya satu realiti maka GB berpandangan keterlibatan dalam menentukan kepimpinan berwibawa untuk negara adalah suatu yang mesti dilakukan pada masa kini.

Untuk itu, setelah kami meneliti kesemua gabungan parti-parti yang ada dan sikap mereka terhadap suara-suara pemimpin Melayu yang bukan berparti termasuk NGO maka GB mendapati bahawa empat parti (BERJASA, PEJUANG, PUTRA & IMAN) lebih terbuka dan sedia memberi ruang yang luas kepada perjuangan NGO. Maka GB, melalui wakil-wakil individu kami, telah memilih untuk bekerjasama dengan dengan keempat-empat parti ini sebagai komponen pengasas bagi menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menghadapi PRU15 nanti.

Perlu ditegaskan bahawa keterlibatan GB dalam GTA bukanlah sebagai penumpang (“passenger”) atau Pak Turut (“yes man”) semata-mata, tetapi sebaliknya GB terlibat dalam menentukan arah tuju GTA. GB, melalui wakil-wakil individunya akan bertegas dalam memastikan isu yang diperjuangkan oleh GB akan diangkat dalam falsafah dan perjuangan GTA.

Justeru, perlu ditegaskan bahawa GB komited pada hala tuju dan matlamat yang telah dipersetujui bersama GTA, namun tidak akan teragak-agak untuk menarik diri dari kerjasama ini sekiranya GTA menyimpang dari hasrat dan perjuangan GB.

Oleh itu GB menyeru semua rakyat sama ada kumpulan masyarakat, NGO, golongan profesional, ketua-ketua masyarakat dan individu-individu yang prihatin terhadap nasib bangsa, agama dan negara untuk bersama-sama bergabung di bawah GB bagi memperkasakan GTA. Kalau selama ini NGO berjuang terhadap isu-isu yang timbul tetapi kini sudah sampai masanya NGO berjuang mendapatkan kekuasaan untuk merealisasikan penyelesaian isu-isu yang perlu.

Setelah melihat gelagat orang politik yang bercakaran mementingkan diri sendiri dan parti sehingga rakyat benci kepada politik, maka GB berpandangan sudah sampai masanya politik negara dibangunkan bukan semata-mata oleh parti tetapi oleh rakyat. Ini adalah pendekatan baru politik negara dan GB yakin dengan sokongan rakyat semua, kita mampu merubah lanskap politik negara.

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: