Gagal Halang Genosid, Rakyat Palestin Saman Biden
WASHINGTON, 15 November 2023 – Sekumpulan pertubuhan hak asasi manusia Palestin, penduduk Gaza serta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang ahli keluarganya terjejas oleh serangan berterusan rejim haram Israel telah mengemukakan saman terhadap Presiden AS, Joe Biden; Setiausaha Negara, Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin pada Isnin kerana gagal menghalang genosid.
Menurut laporan sebuah agensi berita antarabangsa, The Intercept, saman dengan 89 muka surat yang difailkan oleh Center for Constitutional Rights di Mahkamah Persekutuan California itu telah menjejak sejarah 75 tahun serta menganalisis tindakan yang dilakukan dan retorik yang diutarakan oleh Kerajaan Israel di mana ia menunjukkan kerajaan itu kurang mengendahkan undang-undang antarabangsa.
Saman tersebut menyatakan, “Di bawah undang-undang antarabangsa, Amerika Syarikat mempunyai kewajipan untuk mengambil semua langkah yang tersedia untuk mencegah genosid. Namun, defendan secara berulang kali enggan menggunakan pengaruh mereka yang jelas dan besar untuk menetapkan syarat atau meletakkan had ke atas pengeboman besar-besaran Israel dan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza.”
“Walaupun terdapat peningkatan bukti bahawa dasar Israel menjurus kepada menimbulkan kemudaratan besar-besaran ke atas populasi Palestin di Gaza,” pentadbiran Biden telah menentang “gencatan senjata yang menyelamatkan nyawa dan menarik balik pengepungan, malah memveto langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyeru gencatan senjata.”
“Sebaliknya, tindakan mereka untuk membiayai, mempersenjatai dan menyokong kempen pengeboman besar-besaran serta kemusnahan sepenuhnya oleh Israel dan pengepungan sepenuhnya rakyat Palestin di Gaza merupakan kegagalan untuk mencegah genosid yang sedang berlaku dan menjadi penyokong dalam pembangunannya,” kata isi saman itu lagi.
Laporan yang sama turut memberitahu, saman tersebut adalah berikutan amaran serius daripada pakar hak asasi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Israel sedang melakukan jenayah perang di Gaza serta tindakannya mungkin dianggap genosid.
Plaintif di dalam tuntutan mahkamah itu termasuklah pertubuhan hak asasi manusia Palestin, Defense for Children International – Palestin dan Al-Haq; penduduk Gaza, Omar Al-Najjar, Ahmed Abu Artema dan Mohamed Ahmed Abu Rokbeh; dan warga AS, Mohammad Monadel Herzallah, Laila Elhaddad, Waeil Elbhassi, Bassim Elkarra dan “A.N.,” yang kesemuanya mempunyai ahli keluarga yang telah terbunuh dan dipindahkan susulan perang Israel.