Tempatan

Fungsi Terbaru Hotspot Tracker MySejahtera- KKM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 11 Mei 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa fungsi hotspot tracker aplikasi MySejahtera telah ditambahbaik kepada pengesan penyakit berjangkit yang sebelum ini hanya mengesan kes COVID-19.

Perkara tersebut dimaklumkan KKM menerusi Instagram rasminya yang menjelaskan bahawa, “Fungsi Hotspot Tracker di dalam aplikasi MySejahtera telah dikembangkan kepada fungsi Pengesan Penyakit Berjangkit untuk melihat jumlah kes aktif penyakit berjangkit seperti rabies (penyakit anjing gila), Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), demam campak (measles) dan denggi di kawasan sekeliling anda.”

Selain itu, matlamat utama penambahbaikan fungsi tersebut adalah supaya individu peka dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kawasan yang berisiko tinggi bagi penularan penyakit berjangkit, dakwa KKM.

KKM turut menyatakan fungsi Terbaru Hotspot Tracker MySejahtera juga membantu meningkatkan pengetahuan berkaitan faktor risiko penyakit berjangkit selain berkongsi langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit yang dikesan.

Penambaikan ini kepada komuniti pula dikatakan dapat memberi kesedaran untuk memperkasakan keselamatan dan kesihatan kendiri dalam kalangan komuniti.

Justeru, KKM menyeru orang ramai menyemak hotspot tracker masing-masing dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu hantaran turut menyarankan orang ramai segera mengemas kini MySejahtera kepada versi terbaharu supaya dapat menggunakan ciri terbaharu aplikasi tersebut.

“Sila kemas kini MySejahtera anda kepada versi terbaru (1.1.9) dengan segera untuk menggunakan ciri terbaru di aplikasi ini.”

Leave a Reply

Back to top button