NGO

Fitnah Mukhayyam? Afiq M Noor Celaru, Salah Fakta Dan Perlu Buktikan – Nur Farihah Meor Mazli

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1) Adakah program Mukhayyam menyekat kebebasan individu?

Whoever asserts must prove. Saya ambil semula dakwaan Afiq M Noor, beliau perlu buktikan sama ada wujud sebarang penganiayaan, sekatan, pengurungan, seksaan, atau ketakutan terhadap peserta ketika bermukhayyam. Sekiranya Afiq M Noor tidak dapat buktikan, maka wajar kita gelar ia sebagai fitnah terhadap Kerajaan Persekutuan.

2) Apakah JAKIM tidak berperlembagaan atau melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya?

Penubuhan JAKIM adalah jelas sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan. JAKIM bertanggungjawab akan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan (PP) dalam Jadual Kesembilan Senarai I Butiran 4(k) yang menyebut Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam penentuan hukum Syarak, selain daripada undang-undang diri, bagi tujuan-tujuan undang-undang Persekutuan.

3) “Bidang kuasa undang-undang Islam adalah terhad dan terbatas.”

Tidak tepat. Bukan semua isu mengenai agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Negeri sahaja. Hal berkenaan LGBT Muslim turut memerlukan penentuan hukum Syarak oleh Jabatan Persekutuan. Apabila Mukhayyam dikelola di bawah JAKIM, maka benarlah ia terletak di bawah bidang kuasa dan kawalan Persekutuan. Jadi apa yang tidak berperlembagaannya?

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan memutuskan bahawa Islam turut merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, termasuk soal sosial, budaya, moral, dan bukan sekadar dogma. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memang wajar dipetik, dan selagi mana Mukhayyam tidak diputuskan sebagai tidak berperlembagaan, maka tidak boleh dikatakan ia mengatasi Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Nota: Jika bercakap soal hak individu LGBT di Malaysia, hak dan nilai masyarakat mengatasi hak peribadi. Hak kemanusiaan merupakan satu tanggapan moral yang diterima oleh sesebuah kelompok masyarakat, jadi jika perkara itu dianggap melanggar moral, maka frasa ‘hak kemanusiaan’ tidak terpakai.

4) Adakah tepat mengaitkan Mukhayyam dengan percanggahan terhadap Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan?

Tidak. Lihat keputusan terkini mengenai intepretasi Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dalam Maria Chin Abdullah v Ketua Pengarah Imigresen & Anor [2021] MLJU 12 yang mana Hakim mengangkat pendekatan berikut di dalam kes Loh Wai Kong:

“Article 5 is meant to deal with issues of personal liberty only. It should not import certain other rights, say, as elucidated above, a right to a passport or right to travel. Such rights are more akin to privileges than rights of life or personal liberty matters, which are more suitable to fall under Article 9”.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Maria Chin (2021) menerima pakai interpretasi Perkara 5(1) oleh Loh Wai Kong sebagai undang-undang yang baik dan menolak pandangan Hakim di dalam kes Tan Teck Seng v Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan seperti dirujuk oleh Afiq M Noor.

“Loh Wai Kong adopted a narrow view of Article 5(1), namely personal liberty merely means freedom from physical restraint or coercion. It does not include rights to travel abroad or rights corollary to living a life of human quality.” 

Keputusan tersebut telah membalikkan tafsiran Perlembagaan yang progresif, dari kaedah prismatik kepada pedantik kerana ‘personal liberties’ tidak boleh ditafsir secara bebas, atau longgar.

Maka hujah Afiq M Noor bahawa hak LGBT termaktub di dalam Perkara 5 (selain berkenaan sekatan fizikal atau paksaan) boleh dibantah.

Sekiranya Afiq M Noor mahu juga mengguna pakai intepretasi “personal liberty” atau “life” seperti dikemukakan Gopal Sri Ram, beliau perlu membuktikan bahawa program Mukhayyam ada mengandungi elemen sekatan, kurungan, tidak boleh bergerak, antara lain. Atau ia kekal sebagai retorik murahan dan cherry-picking judgment.

5) Sehingga hari ini, sudah berapa ramai yang mengikuti Mukhayyam? Semua ini tidak pernah dibahaskan secara detail di dalam Parlimen?

Mohon rujuk Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat dari tahun 2018-2020; ada disebut secara jelas jumlah peserta, tujuan & laporan mengenai program Mukhayyam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Rujuk halaman 13 Mesyuarat Kedua Parlimen ke-14 Penggal Pertama bertarikh 23 Oktober 2018, misalnya.

6) Berapa wang yang telah dibelanjakan? Apa yang dilakukan di dalam Mukhayyam? Pernahkah program ini diaudit?

Rujuk Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957. Semua badan/jabatan/ agensi Kerajaan Persekutuan termasuk JAKIM perlu diaudit dari sudut pematuhan, penyata kewangan, perolehan dll. Ya termasuk dana dan program yang dijalankan. Apatah lagi bila ia di bawah Jabatan Perdana Menteri. Wajib. Baca semula fungsi Jabatan Audit Negara dan semak Laporan Audit Negara.

Bukankah SUHAKAM sendiri pun diaudit? Sepatutnya pegawai kerajaan lebih fahamlah bab ini kan.

7) JAKIM sebuah badan yang tidak ada undang-undang sendiri dan enforcement power boleh menganjurkan Mukhayyam?

JAKIM ditubuhkan secara pentadbiran, bukan melalui undang-undang. Perkara tersebut tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan JAKIM tidak perlu sebarang ‘enforcement power‘ semata-mata untuk melaksanakan tugas & fungsi mereka sendiri. Tiada kuasa untuk menangkap dan sumbat tahanan dalam lokap pun. Jadi, apa yang menyekat ‘kebebasan individu’ nya?

8) Boleh JAKIM membelanjakan wang awam untuk tujuan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang?

i) Mukhayyam dibenarkan undang-undang kerana ia dilaksanakan oleh AKIM. (Lihat semula jawapan 1-3)

ii) JAKIM berhak menurut peruntukan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan menggunakan dana awam daripada kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan agama Islam.

iii) Oleh itu, Kerajaan Persekutuan ada kuasa mutlak untuk beri dana pada JAKIM.

iv) Kuasa mengurus dana diberi pada JAKIM manakala pemantau JAKIM adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana itulah JAKIM diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri. Dana di bawah JAKIM akan dipantau supaya tidak sewenang-wenangnya diberi pada Negeri-Negeri.

Nur Farihah Meor Mazli
Peguamabela dan Peguamcara
Exco Belia & Media WAFIQ
AJK MACSA
Exco Wanita PEMBELA

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button