Firma Senjata AS Disaman ‘Bantu & Terlibat’ Jenayah Kemanusiaan Di Yaman
AMERIKA SYARIKAT, 10 Mac 2023 – Beberapa pengeluar senjata Amerika Syarikat (AS) telah disaman oleh tujuh warga Yaman di atas dakwaan “membantu serta bersubahat” dalam jenayah-jenayah perang di Yaman.
Saman tersebut telah menamakan kontraktor persenjataan AS seperti Raytheon, Lockheed Martin dan General Dynamics sebagai defendan.
BACA JUGA: Pemandu E-Hailing Mangsa Sindiket Wang Palsu
BACA JUGA: PERHATIAN: Jalan Raja, Dataran Merdeka Ditutup Sehingga 13 Mac Ini
BACA JUGA: Denggi: Negeri Sembilan Catat Lonjakan 580 Kes
Selain itu, saman yang telah difailkan di Mahkamah Daerah Washington DC turut menamakan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman al Saud, pemimpin Emiriah Arab Bersatu Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Setiausaha Negara AS Anthony Blinken berserta Ketua Pentagon Lloyd Austin sebagai defendan lain.
Saman tersebut menyatakan, “Tahun demi tahun, bom-bom jatuh di khemah-khemah perkahwinan, dewan pengebumian, bot-bot memancing dan sebuah bas sekolah, membunuh ribuan orang awal dan membantu menjadikan Yaman sebagai krisis kemanusiaan terburuk dunia. Senjata-senjata yang disediakan oleh syarikat-syarikat AS melalui jualan tidak sah yang diluluskan oleh para pegawai AS telah membenarkan Arab Saudi dan UAE melalui nama-nama defendan untuk meneruskan kempen pengeboman yang dahsyat dan tidak mengira sesiapa”.
Saman tersebut dikatakan telah difailkan bagi pihak mangsa-mangsa daripada dua kejadian pengeboman yang berbeza yang dilakukan oleh gabungan yang diketuai oleh Arab Saudi.
Dua pengeboman tersebut adalah di sebuah majlis perkahwinan pada tahun 2015 dan sebuah majlis pengebumian pada tahun 2016. Menurut kumpulan hak asasi, insiden pada 2015 itu berlaku sewaktu orang ramai sedang bersedia untuk membuat sambutan perkahwinan dan pengeboman tersebut telah mengorbankan 43 nyawa orang awam termasuklah 13 orang wanita dan 16 kanak-kanak.
Manakala setahun kemudian, gabungan yang sama yang diketuai oleh Arab Saudi sekali lagi mengebom orang awam sewaktu majlis pengebumian, di mana lebih 100 nyawa telah terkorban.
Saman tersebut turut menyatakan bahawa bom-bom yang dihasilkan oleh Barat itu telah membunuh lebih 25,000 nyawa orang awam sejak bermulanya krisis ditunjang oleh Barat sejak dari lapan tahun yang lalu.