Feudalisme Belum Dimansuhkan Sepenuhnya, Perlu Satu Atau Dua Generasi Lagi – P Ramasamy
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 11 April 2022 – “Seruan agar orang Melayu dilindungi secara berterusan daripada liberalisme bagaikan menyuruh mereka berhenti belajar dan tidak terbuka kepada idea dan pemikiran baharu,” demikian dakwaan pemimpin DAP, P Ramasamy.
Tambahnya dalam hantaran di Facebook bertarikh 06 April, orang Melayu terbuka kepada idea-idea baharu namun, mereka menjadi “tawanan” kepada pemimpin-pemimpin etnik dan agama.
Ini kerana, ia merupakan usaha golongan elit politik Melayu supaya menolak DAP (Democratic Action Party) atau mana-mana parti yang berfahaman liberalisme dan kekal menyokong mereka dengan menggunakan propaganda mentaliti kepungan.
P Ramasamy turut mempersoalkan bagaimana etnik dan agama orang Melayu akan maju ke hadapan dalam menerima idea dan cabaran baru jika masih diracuni dengan keburukan tentang DAP.
“Setelah bertahun-tahun meracuni etnik dan agama orang Melayu tentang keburukan DAP, bagaimana anda mengharapkan mereka bergerak maju ke hadapan dalam menerima idea dan cabaran baru.”
Selain itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu turut menyentuh mengenai kepentingan perbelanjaan yang disalurkan untuk pendidikan orang Melayu jika golongan elit Melayu meletakkan halangan dan rintangan dalam laluan mereka untuk pemikiran rasional dan logik.
Dakwanya, “Feudalisme tidak dimansuhkan secara sepenuhnya di negara ini lagi, ia mungkin memerlukan satu atau dua generasi lagi untuk menghapuskan unsur-unsur yang tinggal,” justeru amalan ini digunakan untuk tujuan kontemporari.
Terdahulu, Ketua Pemuda Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyatakan bahawa desakan Pakatan Harapan (PH) ke arah liberalisme hanya akan menjauhkan PH daripada orang Melayu sejajar dengan politik identiti mereka.
Di samping itu, majoriti rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk menerima demokrasi liberal “sepenuhnya” yang ingin dicapai PH.