Fenomena ‘Tanah Berlari’, Pekan Kundasang Berisiko Alami Tanah Runtuh Besar
KOTA KINABALU, 15 November 2023 – Pekan Kundasang berisiko alami bencana tanah runtuh besar memandangkan peristiwa gelinciran tanah sudah menghantui penduduknya sejak lebih 20 tahun lalu.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Rodeano Roslee berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, pergerakan tanah berlaku secara pertahan iaitu jenis rayapan.
“Pergerakan tanah itu berlaku pada kadar 25 milimeter (mm) setiap bulan. Jadi, secara semulajadi memang ada pergerakan tanah berlaku di kawasan Pekan Kundasang sehingga ke Pekan Nabalu,” katanya.
Susulan itu, sebanyak tujuh sistem mengesan tanah runtuh yang besar dipasang di Kundasang bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda apabila berlaku tanah runtuh.
Langkah pemasangan sistem itu penting kerana Pekan Kundasang itu sendiri adalah kawasan tanah runtuh yang besar, namun ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Tambahnya lagi, dalam mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda, pemasangan alat pengukur pergerakan tanah antara langkah mitigasi yang boleh dilakukan.
Jelasnya, pergerakan tanah boleh dikesan menggunakan alat inclinometer atau extensometer bagi mengetahui tahap pergerakan tanah di kawasan cerun.
Menurut Dr Rodeano, bagi kawasan yang telah dibina dengan penempatan penduduk, program kesedaran awam mengenai tanda-tanda tanah runtuh perlu sentiasa dilakukan agar penduduk lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Ini kerana, terdapat juga laporan merekodkan kebanyakan penduduk Kundasang telah mengambil sikap berserah dan beradaptasi dengan bahaya gelinciran tanah yang mereka gelar sebagai ‘tanah berlari’.
Sebelum ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) ini menyatakan Kundasang antara 104 lokasi cerun sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing terutama dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) pada November ini.