Tempatan

Fenomena Garis Badai Bakal Melanda Sabah Sarawak Hingga Ahad Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 Mei 2023 – Fenomena garis badai yang membawa bersama hujan lebat dan angin kencang dijangka bakal melanda di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan utara Sarawak bermula hari ini hingga Ahad ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, jangkaan ini dibuat berdasarkan analisis model cuaca, satu sistem tekanan rendah dijangka terbentuk di barat Filipina dan bergerak ke arah barat.

BACA JUGA: Tanah Runtuh Di Seputeh Ragut 1 Nyawa

BACA JUGA: Ramai Pekerja Swasta Tidak Mendapat Hak Perlindungan Sewajarnya – NUFAM

BACA JUGA: Masalah Kewangan Menjadikan Kanak-Kanak Mangsa Dera

“Keadaan ini dijangka menyebabkan peningkatan kelajuan dan penumpuan angin barat daya di perairan barat Sabah dan utara Sarawak bermula 5 hingga 10 Mei 2023.”

Garis badai atau squall line adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Antara ciri fenomena garis badai adalah kelompok awan ribut petir aktif membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan.

Lazimnya ia berlaku pada waktu pagi dan malam, di kawasan bersempadanan dengan laut seperti pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.

Ia juga lazim berlaku semasa Monsun Barat Daya.

Tanda berlakunya fenomena garis badai adalah apabila kelihatan pembentukan awan jalur tebal, kumulonimbus yang naik meninggi datang dari laut atau darat.

Selain itu, kelajuan angin meningkat mendadak menjadi langkisau (angin keras dan tidak menentu haluannya) semasa garis badai menghampiri.

Kesan daripada fenomena ini boleh mengakibatkan angin kencang, guruh dan petir selain membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat.

Fenomena ini turut memberi kesan kepada operasi penerbangan serta boleh menyebabkan kerosakan harta benda dan kemudahan awam selain mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Justeru, orang ramai disaran untuk berada di tempat selamat, tidak mengambil risiko meneruskan pemanduan atau menunggang motorsikal serta pindah ke tempat lebih tinggi jika banjir kilat berlaku.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: