Antarabangsa

Fenomena Bunuh Diri Di Syria – Setelah Puluhan Tahun Jadi Medan Perang Proksi Barat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IDLIB, 18 Ogos 2022 – Syria yang sudah berdekad menjadi medan perang proksi negara kuasa-kuasa barat, menyaksikan krisis kemanusiaan di sana memasuki fasa baru. Hidup berpanjangan dalam suasana perang menyebabkan rakyat Syria berada dalam keadaan trauma dan yang besar. Setelah bertahun bertahan, ramai yang hilang harapan dan bertindak menamatkan riwayat hidup sendiri sebagai jalan keluar.

“Orang ramai di utara Syria menghadapi keadaan seperti perpindahan, kehilangan tempat tinggal, tinggal di kem di mana mereka kehilangan privasi mereka, serta pengangguran, kemiskinan dan ketidakupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang sukar,” kata Abdul Hayy, seorang ahli psikoterapi yang bekerja dengan pusat perubatan SAMS di Idlib.

“Ini kemudian membawa kepada kehilangan harapan dan takut masa depan, yang kelihatan seolah-olah ia semakin teruk,” ujarnya lagi.

Menurut sebuah NGO Syria, Response Coordination Group, kes bunuh diri semakin meningkat di rantau itu: daripada 22 orang pada 2021, kepada sekurang-kurangnya 32 orang dalam enam bulan pertama 2022.

Portal antarabangsa melaporkan bahawa golongan muda merupakan yang paling ramai membunuh diri. Ia disebabkan oleh kebanyakan mereka telah hilang harapan setelah menjalani sebahagian besar kehidupan mereka dalam suasana perang.

“Anak muda Syria melihat di internet dan dalam filem orang yang menjalani kehidupan berbeza dengan kehidupan mereka sendiri,” kata Abdullah Darwish, seorang penyelidik tempatan.

“Ini sering membuatkan mereka berasa terpencil dan membuatkan mereka berfikiran negatif tentang masa depan mereka yang tidak diketahui.”

Dalam laporan lain, sehari selepas roket ditembak berhampiran pangkalan yang menempatkan tentera Amerika, kerajaan Syria telah menuntut Amerika Syarikat “dengan serta-merta dan tanpa syarat untuk menarik balik pasukan tenteranya” dari negara itu.

“Pihak Amerika mesti segera dan tanpa syarat menarik balik pasukan tenteranya yang berada di wilayah Syria secara haram, mengelak daripada mencuri dan menyeludup minyak dan gandum Syria,” tegas Kementerian Luar Syria dalam satu kenyataan.

Peperangan di Syria kini telah memasuki tahun kedua belas. Perang ini telah menyebabkan tahap kemusnahan dan kerugian yang hampir tidak dapat dibayangkan kepada rakyat Syria dan ekonomi mereka. Lebih 350,000 kematian yang boleh disahkan telah dikaitkan secara langsung dengan konflik setakat ini, tetapi jumlah kematian tidak dapat dikira, apa yang pasti, jumlahnya lebih tinggi dari apa yang dilaporkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: