Tempatan

Sewakan Kuarters Guru Kepada Kakitangan Awam Lain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2022 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia mempertimbangkan kebenaran menyewa kuarters guru bagi kakitangan awam agensi kerajaan lain.

Lapor Utusan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata bahawa langkah tersebut merupakan salah satu jalan bagi menyelesaikan masalah kuarters terbiar itu. Pihaknya akan meneliti masalah tersebut dengan mendalam supaya kuarters yang disediakan tidak terbiar.

“Kuarters guru ini ada yang dibina di tempat-tempat yang tiada permintaan dan ada juga kuarters guru yang dibina permintaan itu tinggi. Jadi bila kosong sahaja, mereka terus masuk. Namun begitu, ada kuarters yang bila kos duduk di luar lebih murah daripada kos kuarters.”

“Malah kita teliti satu persatu kuarters ini berada di kawasan mana, apakah keperluan di kawasan ini, berapa ramai guru yang boleh dibawa masuk atau akan masuk atau kalau tidak masuk adakah agensi kerajaan lain berhampiran akan gunakan kuarters ini,” ujarnya.

Mengikut laporan KPM pada 2019, lebih 16,000 unit kuarters guru masih kosong daripada keseluruhan 50,257 unit yang dibina. Daripada jumlah kekosongan tersebut, hanya 6,302 unit sahaja yang berada dalam keadaan baik dan boleh didiami manakala baki lebih 10 ribu unit lagi rosak dan tidak boleh diduduki.

Hasil maklum balas guru-guru yang pernah menetap di kuarters tersebut mendapati bahawa mereka turut mengeluh tentang keadaan infrastruktur dan kelemahan penyelenggaraan kuarters yang kebanyakannya rosak dan tidak dibaiki.

Mereka juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi mengatasi masalah tersebut selepas pihak bertanggungjawab mengabaikan aduan yang dibuat.

Selain itu, isu kuarters terbiar ini mendapat perhatian Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang turut mendesak KPM segera membaikpulih kuarters dan menyewakannya kepada penjawat awam daripada agensi kerajaan lain.

Samudera.my sebelum ini melaporkan kira-kira 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: