Facebook & Twitter Tutup Akaun Ops. Pro-Barat Dan Anti-China
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 25 Ogos 2022 – Teknologi terbesar dunia, Twitter dan Facebook melaksanakan satu kempen rahsia dengan menutup akaun yang mempromosikan naratif pro barat yang menyokong Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya, dan dalam masa yang sama menentang negara seperti China dan Rusia, lapor media luar negara.
Pada bulan Julai dan Ogos, Twitter dan Meta membuang dua set akaun yang “bertindih” kerana melanggar syarat perkhidmatan platform mereka.
Twitter berkata, akaun itu melanggar dasar mereka mengenai “manipulasi platform dan spam”, manakala Meta pula menyatakan bahawa akaun itu terlibat dalam “tingkah laku tidak sahih yang diselaraskan”.
Data yang disediakan oleh firma induk Twitter dan Facebook Meta kepada para penyelidik menunjukkan satu siri kempen rahsia yang dijalankan dalam tempoh hampir lima tahun di pelbagai platform media sosial, termasuk Twitter, Facebook dan Instagram.
Twitter menyediakan data yang meliputi lebih daripada 299,000 tweet oleh 146 akaun antara Mac 2012 dan Februari tahun ini, menunjukkan aktiviti dikaitkan dengan kempen rahsia yang tidak jelas asal usulnya.
Kempen rahsia ini juga diwakili dalam set data Meta 39 profil Facebook, 16 halaman dan dua kumpulan; serta 26 akaun Instagram aktif dari 2017 hingga Julai tahun ini.
Penyelidik mendapati bahawa kempen itu secara konsisten membawa naratif yang mempromosikan kepentingan AS dan sekutunya sambil menentang negara termasuk Rusia, China dan Iran.
Menurut laporan bersama mereka, akaun-akaun itu “mengkritik hebat” Rusia kerana kematian orang awam yang tidak bersalah dan kekejaman lain yang dilakukan tenteranya dalam mengejar “cita-cita empayar” Kremlin, berikutan pencerobohan Ukraine pada Februari.
Bagi mempromosikan naratif sedemikian, akaun media sosial kadangkala berkongsi artikel berita daripada saluran media yang dibiayai kerajaan AS seperti Voice of America dan Radio Free Europe, atau pautan ke laman web yang ditaja oleh tentera AS.
“Secara umum, dua aset yang paling banyak diikuti dalam data yang disediakan oleh Twitter adalah akaun-akaun yang secara terang-terangan mengisytiharkan mempunyai hubungan dengan tentera AS,” kata laporan itu.