Tempatan

TERKINI: Rosmah Mansor Didapati Bersalah!

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 September 2022 – Mahkamah Tinggi dapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan berkata, pihak pembelaan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sebelum itu, mahkamah menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak atas alasan permohonan Rosmah tidak bermerit selain menyifatkan permohonan itu adalah akademik.

Rosmah sebelum ini menghadapi tiga pertuduhan rasuah melibatkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Pada 15 November 2018, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.

Rosmah Mansor diperintah membela diri pada 18 Februari 2021 terhadap tiga tuduhan rasuah selepas Mohamed Zaini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: